Bismillah Walhamdulillah Was Salaatu Was Salaam 'ala Rasulillah. 

1. Ilmu dan Penyelewengan:

Tempat tergelincir yang paling merbahaya ialah fitnah ilmu. Kadangkala 
orang yang melalui jalan dakwah yang mencari ilmu dasar ma'rifah akan 
mendapat sedikit sebanyak ilmu kemudiannya ia akan merasakan satu 
perubahan yang besar dalam dirinya, setelah merasai hidup dalam 
kekosongan dan kesesatan. Dia kagum dan silau matanya dengan sinaran 
ilmu dan ma'rifah yang diperolehinya dari hasil kajiannya dan dalam 
kitab-kitab dan buku dakwah Islam. Dia yakin pula bahawa ilmu yang 
diperolehinya itu telah banyak, lantas menyangka dia telah mempunyai 
kemampuan untuk beristinbat dan mengeluarkan hukum dari ilmu yang telah 
diketahuinya dari nas-nas, dalil-dalil Al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah 
saw. 

Kadangkala pula dia berpegang teguh sebab lahiriah satu-satu dalil dan 
tidak mahu menerima hujah dari seseorang. Di kala lain pula dia mudah 
terpedaya lantas menganggap dirinya telah sampai kepada darjah mujtahid 
lantas dengan beraninya mengeluarkan fatwa-fatwa hukum syara' di dalam 
beberapa perkara yang didedahkan kepadanya. Benarlah ada orang yang 
berkata:

"Orang yang paling berani megeluarkan fatwa ialah orang yang paling 
kurang ilmunya."

Lebih merbahaya dari itu ia berani pula merendah-rendahkan darjah 
imam-imam mujtahidin yang silam jika didapati pandangannya bertentangan 
dengan pandangan mereka atau sekurang-kurangnya dia berkata: "Mereka itu 
lelaki dan kita pun lelaki juga."

Satu lagi tempat tergelincir ilmu iaitu apabila orang yang berjalan di 
atas jalan dakwah telah dikuasai oleh kelazatan dan keenakan ma'rifah 
nabi, dimabukkan oleh pembacaan dan mutala'ah semata-mata, sehinggakan 
jihadnya tertumpu di dalam bidang itu sahaja tanpa melibatkan dirinya 
lagi di dalam jihad dan amal yang lain yang dituntut oleh agama. 
Akhirnya hatinya menjadi terlalu seronok dan khusyuk dalam membaca 
berbagai kitab dan berlumba-lumba membaca berbagai majalah yang dipenuhi 
makalah ilmiah semata-mata. Ini membuatkan dia leka dari memberi 
perhatian ke arah menyuburkan iman memperkuat jihad dan latihan dakwah 
Islam. Ini adalah membalik-songsangkan segala pertimbangan dan 
menyalah-gunakan pengertian yang menyokong usaha tolong menolong yang 
membawa hasil.

Cara untuk memelihara diri dari yang demikian ialah dengan cara menuntut 
ilmu yang berguna tanpa mudah terpedaya dan tidak melewati batas dan 
selalulah merasa yakin bahawa apa yang telah kita ketahui adalah lebih 
baik dari apa yang belum kita ketahui. Juga barangsiapa yang mengaku 
bahawa ia telah mengetahui maka dia telah menjadi jahil. Kemudian kita 
cantum ilmu dengan amal. Janganlah kita terlalu berani mengeluarkan 
fatwa. Kita mestilah sentiasa berlapang dada menerima pandangan dan 
fikiran yang sahih dan benar tanpa menutup diri dan membekukannya dengan 
kefahaman yang terbatas. Kita mestilah meletakkan manusia dan menilai 
mereka menurut darjah dan kedudukan mereka. Semuga Allah memberi rahmat 
kepada seseorang yang mengenali kadar dirinya.

[Utz Mustafa Masyhur]