6. Kesabaran, Ketahanan Dan Penyampaian Dakwah: Gambaran ideal lagi benar dalam jihad di tahap permulaan dakwah adalah tergambar di dalam kesabaran atau gangguan dan ketahanan di medan dakwah serta bersungguh-sungguh menjalankan dakwah. Proses ini kadangkala melibatkan membawa istisyhad (mati syahid) sebagaimana yang terjadi kepada Yassir dan Sumayyah r.a. Tiga anasir yang sangat penting di peringkat pertama dakwah ialah sabar, tetap bertahan (istiqamah) dan menyampaikan dakwah. Itulah rahsia kehidupan dakwah Islam. Itulah sebab-sebab yang mengekalkannya dan mengembangkannya. Sesungguhnya contoh-contoh kesabaran dan ketahanan seperti Yassir, Sumayyah dan Bilal serta lain-lain sahabat Rasulullah s.a.w telah membawa peranan penting dan utama untuk dakwah pada waktu itu. Dari sinilah kita sentiasa mendapat perbekalan dan kekuatan yang mendorong kita meneruskan dakwah dan jihad setiap kali kita membaca seerah mereka. Kelihatan pada zahirnya ada orang yang menyangka bahawa sikap mereka yang demikian itu sebagai sikap dan tindakan negatif. Sangkaan yang sedemikian itu adalah salah, kerana hakikatnya itulah kemuncak positif. Di dalam kesabaran, ketahanan dan terus menerus menyampaikan dakwah, inilah pemberian, penanggungan dan penentangan terhadap pendukung kebathilan berkesudahan dengan kekalahan mereka dengan kekuatan iman dan kekuatan aqidah para penganut Islam di masa itu. Kekalahan yang demikian itu telah dirasai oleh Abu Jahal berhadapan dengan kesabaran dan ketahanan Bilal r.a. 7. Jihad Dan Menjual Diri Kepada Allah: Sebahagian pemuda bertanya: "Selagi jihad itu perlu, dan kita telah berjanji menjual diri dan harta kepada Allah, mengapa kita tidak berjihad dan menyerahkan harta dan jiwa kita ke jalan Allah?" Saya jawab: "Sesungguhnya orang yang telah menjual diri dan hartanya kepada Allah, tidak berhak mengorbankan diri dan hartanya itu di sebarang waktu dan amal yang dikehendaki, tetapi mestilah di waktu dan di dalam amal dan usaha yang telah ditentukan oleh syari'at Islam. Sesungguhnya Allahlah yang mengira, yang mengarahkan di waktu mana, di dalam kerja apa, dan cara bagaimana kita menyerahkan jiwa dan harta kita. Sama ada di tengah-tengah gangguan, tindasan, penyiksaan, kesabaran dan ketahanan ataupun di tengah-tengah peperangan, jihad dan penentangan kepada musuh-musuh. Janganlah kita mudah didorong oleh sentimen, perasaan melulu atau gopoh gapah mempercepatkan natijah serta buahnya ialu kita membuat kerja-kerja, usaha-usaha dan pertarungan yang juz'iah di mana kita mengorbankan jiwa dan harta kita tanpa membawa faedah yang nyata untuk dakwah. Tindakan-tindakan begini membawa keuntungan dan menambah kekuatan para pendukung kebathilan. [Ustaz Mustafa Masyhur]