Bismillah Walhamdulillah Was Salaatu Was Salaam 'ala Rasulillah. 2. Di antara Furu'iah (cabang) Dan Usul: Satu lagi penyelewengan yang berlaku ke atas orang yang berjalan di atas jalan dakwah ialah lebih mementingkan bentuk lahir daripada isi dan batin, ataupun sibuk mengurus lahir sebelum mengurus isi dan batin. Ini adalah salah dan bahaya pada waktu ini. Pada hal sepatutnya sebelum kita menyuruh orang yang kita seru dengan perkara-perkara furu'iah kita mestilah terlebih dahulu bersama mereka mengukuhkan dan menegakkan perkara-perkara usul atau dasar aqidah Islam dalam diri kita. Ini nantinya akan mendorong kita untuk menyerah diri mengikuti perintah Allah lantas bangun melaksanakan segala ajaran Islam mulai dari kulliah hinggalah kepada juz'iah. Kita akan dengan rela hati menerima baik segala ajaran Islam dari yang sebesar-besarnya hingga kepada yang sekecil-kecilnya sebagai ibadat kita kepada Allah. Tetapi kalau kita jadikan perkara furu'iah (cabang-cabang) sebagai asas yang kita mesti iltizam dengannya sebagai syarat asasi sedangkan kita baru mulai berjalan di atas jalan dakwah maka da'i yang sedemikian rupa menjadikan mereka yang kita seru menjauhkan diri dari dakwah kita dan secara tidak langsung kita menghalang mereka dari berjalan di atas jalan dakwah bersama kita. Akhirnya secara tidak disedari kita dapati diri kita telah terasing disebabkan oleh uslub dan cara yang salah. Kita mestilah mampu memperbezakan di antara mengiltizamkan diri dan mengiltizamkan orang lain dari diri kita. Kita telah pun maklum pada diri kita bahawa dakwah Islam itu bermula dengan menegakkan aqidah; iman dan tauhid di dalam jiwa dan iman itulah yang mendorong para da'i untuk menyerahkan diri pada Allah dan mengikut perintah Allah tanpa ragu dan bimbang. Oleh itu kita tidak boleh menyeleweng dari manhaj dan cara yang bijaksana ini. "Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan nasihat yang baik." [An Nahl:125] [Utz Mustafa Masyhur]