Bismillah Walhamdulillah Was Salaatu Was Salaam 'ala Rasulillah. 3. Di antara berkeras-keras dan bersusah-payah: Kadang-kadang orang yang berjalan di atas jalan dakwah terlepas dari penyelewengan yang sedemikian tetapi boleh jadi terdedah pula kepada penyelewengan yang lain yang tidak kurang bahayanya. Ia terlalu berkeras-keras sangat, bersusah-susah sangat lalu membebankan dirinya dengan melakukan tugas-tugas taat dan ibadat yang di luar kemampuannya dengan keyakinan bahawa perlakuan yang demikian untuk melatih diri dalam rangka memudahkannya untuk mengikut manhaj Ilahi. Akhirnya ia tidak mampu meneruskan perjalanannya lalu tercicir di tengah jalan hingga sanggup mencuai-cuaikan perkara-perkara yang fardhu dan asasi hinggalah kepada perkara-perkara sunat-sunat dan nawafil. Rasulullah SAW telah mengarahkan kita supaya mengelakkan diri dari cara yang demikian. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak jemu sehingga kamu jemu." Di sini kita wajiblah memperbezakan di antara tindakan yang tegas penuh kesungguhan dengan berpayah-payah serta membebankan diri di luar kemampuan. Sesungguhnya nafsu itu adalah ibarat anak kecil apabila dia dicuaikan akan terus mencintai penyusuan tetapi apabila dipisahkan daripadanya ia akan berhenti menyusu kepada ibunya. Jadi tidak boleh tidak mestilah nafsu itu ditundukkan dan dikendalikan di dalam batas-batas kemampuan kerana Allah Ta'ala telah berfirman sebagai ajaran untuk kita: "Ya Tuhan kami janganlah Engkau membebankan kami sesuatu bebanan yang tidak sanggup kami memikulnya." [Al-Baqarah: 28] Jalan dakwah itu adalah panjang dan sukar jadi para pendukung dakwah yang ingin maju meneruskan dakwah janganlah membebankan dirinya dengan bebanan yang dia sendiri tidak mampu memikulnya. Kerana amal yang sedikit tetapi berterusan itu lebih baik dari amal yang banyak tetapi terputus dan terhenti di tengah jalan. Kita juga tidaklah sepatutnya bersikap melampau dan cuai, kerana bebanan kita banyak, sementara itu pula dakwah memerlukan para pendukungnya yang mempunyai cita-cita yang tinggi, kemahuan yang kuat, keazaman yang tegas, tangkas dan unggul. [Utz Mustafa Masyhur]