PENYELEWENGAN DI ATAS JALAN DAKWAH 

Memandangkan pentingnya diberi perhatian kepada penyelewengan dan betapa 
bahayanya dan kerana menyambut saranan beberapa ikhwan, wajarlah kita 
memperbincangkannya untuk memberi penjelasan yang lebih lanjut di 
samping kita beriltizam dengan tidak menuduh niat dan tidak berjahat 
sangka kepada sesiapapun juga. Yang paling kita utamakan di sini ialah 
golongan pemuda Islam yang berminat untuk merealisasikan kebaikan untuk 
Islam. Kesalahan di dalam konsep, kadang kala di dalam kefahaman, itulah 
yang membuat mereka tergelincir dan terpesong. Mereka tergelincir dan 
terseleweng di segi fikrah dan harakiah. Semakin hari semakin bertambah 
penyelewengannya dan terus terpesong dan tersalah di dalam berbagai 
kegiatan dan tindaktanduknya kecuali jika mereka diberi rahmat oleh 
Allah dan dibawaNya kepada Siratul-mustaqim —jalan yang lurus.

"Dan sesungguhuya inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia dan 
janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain lalu kamu 
dicerai-beraikan dari jalan-Nya, demikianlah Allah mewasiatkan kepada 
kamu agar kamu bertaqwa" [Al-An'aam: 153]

1. Kontradiksi dan Kesulitan:

Seseorang Muslim yang ghairah dan memandang di sekitarnya akan mendapati 
masyarakat kita penuh dengan kontradiksi dan pertentangan yang hebat di 
antara waqi' (realiti) yang merosakkan masyarakat ini dengan bentuk dan 
konsep yang dikehendaki oleh Islam untuk masyarakat Islam. Dia akan 
dapati bahawa kehidupan di hari ini ditimpa oleh wabak dosa, dilanda 
kemungkaran dan dilumuri maksiat lahir dan batin. Di satu pihak yang 
Iain pula dia mendapati kehidupan Islamiah yang bersih dari yang 
demikian itu. Lantaran itu dia berdukacita dan berasa sangat hiba. 
Manakah yang mesti dipilih dan diikut?

Adakah dia akan menyerah bulat-bulat kepada realiti dan bersikap negatif 
seperti kebanyakan orang yang dengan mudah boleh melupakan segala apa 
yang diwajibkan Islam. Islam mewajibkannya berusaha mengubah realiti dan 
suasana yang rosak itu dari terus terbenam ke lembah maksiat dan mungkar 
menukarkan suasana dan kenyataan itu kepada bentuk Islam hingga menjadi 
suasana dan realiti Islamiah. 

Ataupun dia mesti bersikap positif, tegas dan tangkas lantas menyahut 
seruan aqidahnya yang mendesak. Sikap ini nanti memberi dorongan kuat 
kepadanya supaya dia bekerja dan berusaha merubah suasana yang, rosak 
itu kepada suasana Islamiah. Biasanya dia akan memilih yang kedua itu 
kerana sesungguhnya aqidah itu mempunyai kekuasaan yang kuat di atas 
jiwa manusia. Tatkala itulah dia akan memikirkan segala tindakan, cara 
dan jalan. 

Hal ini terutamanya berlaku di kalangan yang baharu dalam latihan dan 
kurang pengalaman. Jika sekiranva tidak ada sesiapa yang memberi tunjuk 
ajar dan membimbing tangannya kepada jalan fikiran, usaha dan amal yang 
sihat, berkemungkinan dia akan memilih jalan yang menyeleweng dan 
terdorong terus di dalam penyelewengan, sedangkan ia masih lagi 
beranggapan yang dia tetap di atas jalan yang benar dan cara yang 
bijaksana, lalu ia mempersalahkan usaha orang lain yang tidak bersetuju 
dengannya. Ini akan membahayakan usahanya dalam rangka membawa kebakan 
kepada Islam dan Muslim.

[Ustaz Mustafa Masyhur]