2. Siapakah Yang Bertanggungjawab:

Apakah kita patut menyalahkan si penyeleweng itu sendiri, menganggap dia 
sahaja bertanggungjawab terhadap penyelewengannya pada hal kita sudah 
tahu kebaikan niatnya? Ataupun kita periksa dan teliti sebab-sebab yang 
sebenarnya yang bertanggungjawab menyebabkan perkara yang sedemikian 
rupa berlaku. Kekosongan jiwa agama yang dihayati oleh golongan pemuda, 
kontradiksi yang hebat di antara realiti masyarakat yang rosak dengan 
idealisma masyarakat Islam yang dicita-citakan, penindasan, gangguan dan 
penyiksaan yang dahsyat yang ditimpakan kepada para duat. Ditambah lagi 
dengan melihatkan kekuasaan berada di tangan golongan perosak dan para 
jaguh kejahatan, yang bebas bertindak sesuka hati, sedangkan jamaah 
Islam yang bertanggungjawab mengumpulkan dan mendidik para pemuda yang 
berminat dan mahu bekerja untuk Islam di dalam keadaan lemah dari segi 
tanzimnya. 

Sepatutnya Jemaah inilah yang mengarahkan, menunjukkan dan membimbing 
mereka berjalan di jalan dakwah menurut perjalanan Rasulullah SAW di 
zaman silam, begitu juga kita berjalan di atasnya pada hari ini dan 
seterusnya hingga kita menemui Allah.

Inilah sebab-sebab utama yang bertanggungjawab, yang membawa para pemuda 
kepada penyelewengan. Mereka tergelincir di segi fikrah dan harakiah 
(gerakan). Umpamanya kita melihat hukum-hukum yang membahayakan aqidah 
orang lain disebarkan dengan mudah tetapi yang melibatkan kedudukan, 
muamalah, solat dan segala perhitungan pula berdasarkan kepada 
hukum-hukum dan fatwa yang merbahaya, terlalu berani dan tergopoh-gapah. 
Ataupun lahir pula bentuk-bentuk amal yang mendadak akibat dorongan 
sikap tergopoh-gapah serta akibatnya dan demikianlah seterusnya. Jadi 
dalam hal ini kita mesti berusaha mengatasi sebab-sebab yang hakiki itu 
sekiranya kita hendak merawati punca sesuatu masalah.

Kita mestilah merasakan bahawa menjadi kewajipan kita supaya menerangkan 
kepada para pemuda Islam tentang jalan yang benar dan sahih untuk fikrah 
dan amal Islami di dalam perlaksanaan kalimah-kalimah ini di bawah sinar 
tajribah generasi silam dengan mengharap hidayah dan taufik dari Allah.

[Ustaz Mustafa Masyhur]