3. Syumul dan Berpandangan Jauh: Kita mestilah mempunyai pandangan yang syumul (lengkap) dan mendalam, dalam kita bekerja untuk Islam, kerana urusan ini bukanlah semata-mata hanya melayani semangat dan tindakan-tindakan yg tidak memperhitungkan segala akibat dan natijah. Pengalaman dan ujian pahit di masa lalu telah menunjukkan kepada kita bahawa semangat yang meluap-luap bukanlah bukti kekuatan Iman penganutnya, malah menunjukkan kedangkalan jiwanya dan kurangnya persediaan serta tidak bersabar di atas kesusahan jalannya. Biasanya terlintas di fikiran mereka bahawa emosi, lonjakan dan semangat yang meluap-luap itu kononnya dapat merealisasikan sesuatu untuk Islam yang tidak dapat direalisasikan oleh orang sebelumnya. Lebih melampau pula mereka menuduh orang yang tidak menyetujuinya di dalam lonjakan emosi dan luapan semangat sebagai orang yang bacul dan lemah. Sesungguhnya tugas, kewajipan yang diusahakan oleh para duat untuk merealisasikan batas Islam adalah besar dan agung. Bukan hanya sekadar perubahan sampingan atau sebahagian atau tempatan. Sesungguhnya ini adalah perubahan yang merangkumi iaitu membangunkan daulah Islamiah 'Alamiah, kerana dakwah kita adalah bersifat 'alamiah (sejagat) dan untuk seluruh manusia. Musuh dakwah Islam juga merupakan dunia internasional, berbentuk antarabangsa tidak hanya di suatu tempat yang tertentu sahaja. Dunia hari ini bukanlah dunia semalam. Pengaruh alat-alat perhubungan yang baharu tidak meninggalkan sesuatu bahagian dari bumi ini terasing dari yang lainnya. Segala peristiwa yang berlaku di suatu bahagian bumi menimbulkan reaksi yang cepat di seluruh dunia yang mesti diberi perhatian dan perhitungan yang sewajarnya. [Ustaz Mustafa Masyhur]