4. Jalan Yang Sahih:

Sesungguhnya kebesaran tugas ini, banyaknya rintangan dan penindasan, 
berleluasanya pengintipan musuh-musuh Islam terhadap kebangkitan Islam 
dan harakah Islam, tidak dapat dijadikan alasan dan sebab untuk 
meninggalkan kerja dan usaha untuk Islam.

Perlulah dirubah kenyataan yang bathil dan membangunkan daulah yang haq, 
tetapi mestilah dengan jalan yang sahih dan benar. Menanam kukuh asas 
aqidah di dalam jiwa, mendidik dan mempersiapkan generasi Mukmin yang 
benar dan mampu bangun membuat perubahan, membangunkan rumahtangga 
Muslim yang menjelmakan Islam di segenap kegiatan dan jurusan hidupnya, 
dan bekerja dan berusaha sungguh-sungguh memenangi public opinion 
(pandangan orang ramai) supaya mereka memihak kepada dakwah Islam. 
Faktor-faktor ini merupakan dasar yang teguh untuk membangunkan hukum 
dan daulah Islamiah. Inilah jalan yang sahih dan benar untuk menegakkan 
dan memenangkan dakwah Islam di muka bumi ini tanpa bergopoh-gapah untuk 
mencapai hasil. Kerana sesungguhnya masa itu diukur dengan umur dakwah 
bukan dengan umur perseorangan.

Mungkin ada orang berkata: Jalan ini lambat dan tidak mungkin melahirkan 
cita-cita yang diharapkan, berlebih-lebih lagi dengan adanya cangkul 
peruntuh iaitu setiap persiapan dan kelengkapan yang dibawa oleh 
pendukung kebathilan, lalu dengan mudah diruntuhkannya satu demi satu .

Kita jawab: Sesungguhnya pendapat ini tidak benar dan tidak sihat, 
kerana sejarah mendustakannya. Seerah Rasulullah s.a.w mengatakan dan 
menegaskan      bahawa sesungguhnya dakwah Allah yang dikumandangkan oleh 
Rasulullah s.a.w telah berjalan di atas jalan seperti ini, di dalam 
suasana ynag serupa di zaman ini, namun demikian  baginda dapat 
memantapkan dasar-dasarnya.

Akhirnya Allah memberi kemenangan kepada beginda sekalipun bagaimana 
besarnya penentangan pendukung kufur dan kebathilan dengan segala tipu 
daya mereka dan cangkul peruntuh yang cuba membinasakan usaha baginda. 
Kelengkapan kufur dan jahiliah tidak mampu meruntuhkan asas dan dasar 
orang yang beriman lantaran kekuatan iman dan kejituan aqidahnya dan 
sekarang sejarah akan mengulangnya lagi. Allah akan memberi kemenangan
kepada yang haq dan menghapuskan yang bathil walaupun dibenci oleh 
golongan penjajah dan kufur dan benarlah Allah Yang Maha Agong di dalam 
firman-Nya:

''Demikianlah Allah membuat perumpamaan (bagi) yang benar dan yang 
bathil. Adapun buih itu, akan hilang sebagai sesuatu yang tidak ada 
harganya, adapun yang memberi menafaat kepada manusia, maka ia tetap di 
bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan." [Ar-Ra'ad: 17]
 
[Ustaz Mustafa Masyhur]