Bismillah Walhamdulillah Was Salaatu Was Salaam 'ala Rasulillah.

PERANAN MUSLIMAH SEBAGAI DAIEAH

Penglibatan muslimah di dalam gerakan dakwah adalah merupakan sesuatu 
yang tidak dapat dinafikan lagi. Contoh yang dibuktikan oleh muslimah 
yang terdahulu seperti saiyidatina Khadijah binti Khuwailid sebagai 
manusia pertama yang menyahut seruan Iman dan Islam, saiyidatina Aisyah 
sebagai gedung ilmu dan pusat sumber maklumat, Ummu Ammarah Nusaibah 
binti Ka'ab yang bermati-matian di medan Uhud dan Sumaiyah Ali Yaasir 
sebagai orang yang pertama mendapat gelaran syahid adalah bukti yang 
jelas bahawa peranan muslimah adalah jauh lebih luas dari hanya sekadar 
beroperasi di dalam rumahnya. 

Fenomena yang mengancam pemikiran ramai manusia dalam memisahkan peranan 
muslimah di dalam medan perjuangan Islam adalah merupakan sebahagian 
dari gejala rawathib al jahiliyyah (karat-karat jahiliyyah) dan juga 
rawathib al isti'mariyah (karat-karat penjajahan) yang begitu dominan di 
seluruh pelusuk dunia Islam. Akibat dari gejala ini, salah faham 
terhadap Islam berlaku dan Islam ditohmah sebagai satu ajaran agama yang 
menindas dan memperlekehkan kaum wanita. 

Sifat Islam sebagai Deen ul Fitrah (agama fitrah) yang datang untuk 
menjadi panduan kepada manusia samada lelaki mahupun perempuan adalah 
merupakan satu bukti yang nyata bahawa tanggungjawab sebagai khalifah 
Allah di atas muka bumi ini dipikul bersama oleh muslimin dan muslimat. 
Kebanyakan perintah-perintah yang terdapat di dalam Al-Quran adalah 
bersifat umum yang merangkumi lelaki dan perempuan dan Islam tidak sama 
sekali pun membezakan antara mereka dari segi tanggungjawab di atas muka 
bumi mahu pun pembalasan di akhirat nanti. 

Setelah kita berusaha untuk membentuk diri kita dengan sesempurna 
mungkin untuk memikul tanggungjawab ini, setiap individu muslimah 
mestilah berusaha untuk memanggil ke arah perlaksanaan cita-cita Iman 
dan Islam tadi ke dalam realiti. Keindahan dan kesempurnaan Islam tidak 
akan terbukti kalau hanya setakat teori dan cita yang tidak dicernakan 
ke dalam waqi' (realiti). Tugas mencernakan ajaran Islam dan mengajak 
manusia bersama untuk beriman inilah yang dikenali sebagai da'wah. 

Di dalam konteks da'wah, di sana ada 3 marhalah (peringkat) yang mesti 
dilalui untuk menjamin keberkesanan usaha yang dilakukan. Marhalah2 
tersebut adalah marhalah ta'rif (pengenalan), marhalah takwin 
(pembentukan), marhalah tanfiz (perlaksanaan). Di sini kita akan cuba 
menghuraikan peranan muslimah sebagai da'ieah dalam mengisi ketiga-tiga 
marhalah tadi. 

1. Marhalah Ta'rif 

Yang dimaksudkan sebagai ta'rif adalah pengenalan dalam konteks 
penyediaan individu muslimah yang faham, beramal dengan apa yang 
difahaminya dan seterusnya berjihad dan beristiqamah pula dalam 
jihadnya. Untuk mengisi tuntutan ini maka hendaklah setiap muslimah tadi 
berusaha untuk: 

1.1) Melahirkan insan yang bertaqwa kepada Allah azza wa jal dengan 
pembentukan iman dan aqidah yang benar. Proses ini berlaku apabila 
muslimah tadi berusaha dan bersungguh dalam ibadat dan hubungannya 
dengan Allah azza wa jal melalui ibadat dan ketaatan seperti yang telah 
diwajibkan. 

1.2) Melahirkan insan yg faham akan konsep Iman dan Islam yg menyeluruh 
sepertimana firman Allah azza wa jal: 

"Wahai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam sepenuhnya 
dan janganlah kamu mengikut jejak-jejak syaitan". Surah Al Baqarah ayat 
208. 

1.3) Melahirkan insan yang memiliki as syakhsiyah al islamiyyah 
(personaliti sebagai seorang Muslim) yg contoh ikutannya adalah 
Rasulullah SAW. Syakhsiyah ini adalah berbentuk kamil wa mutakamil 
(lengkap lagi melengkapi) dan setiap penda'wah hendaklah menyedari 
bahawa kita sekarang sedang membawa risalah dan setiap gerak geri kita 
adalah diperhatikan. Pastikanlah bahawa syakhsiyah kita tadi tidak akan 
menimbul fitnah terhadap Islam yang hendak kita bawa dan tarbiyyah yang 
sedang kita lalui. 

2. Marhalah Takwin 

Setelah menjalani proses ta'rif, muslimah hendaklah berpindah pula 
kepada marhalah takwin. Di dalam marhalah ini mad'u (mereka yang 
dida'wahkan) hendaklah dibawa mengenali konsep amal jamaie (beramal dan 
bergerak dalam bentuk jamaah). Islam tidak pernah dan tidak akan dapat 
ditegakkan oleh individu atau pengasingan diri dari masyarakat. Individu 
tadi hendaklah memiliki dan mengujulkan intima' dan iltizam (commitment) 
yang menyeluruh terhadap Islam, da'wah dan harakah Islamiyyah (gerakan 
Islam). 

Dalam peringkat ini hendaklah dibentuk sifat masuliyah fardiyah 
(tanggungjawab) yang tinggi. Masuliyah ini adalah masuliyah yang 
melahirkan sifat muraqabah (merasakan bahawa Allah sentiasa 
memerhatikannya) yang akan mengakibatkan individu tadi jujur pada 
dirinya, jujur pada Allah dan jujur pada perjuangan yang didokonginya. 
Kita tidak mahu dalam marhalah ini akan timbul permasalahan furu' 
(cabang) dibawa menjadi isu yang mengakibatkan kita menjadi golongan al 
mutasaqitin (golongan yang gugur). 

Dalam marhalah ini keujudan baitul muslim (rumah tangga Islam) sebagai 
nucleus terpenting dalam gerakan Islam adalah merupakan satu tuntutan. 
Muslimah berperanan untuk memastikan rumahtangganya hidup dalam suasana 
Islam dalam semua aspek. Dalam hubungan ini Muslimah berperanan untuk 
menjadi zaujah as solehah (isteri yang solehah), yang taat dan pendorong 
utama kepada perjuangan Islam suaminya dan juga berperanan besar untuk 
memastikan tarbiyatul aulad (pendidikan anak-anaknya) berjalan dalam 
suasana yang Islamik. 

3. Marhalah Tanfiz 

Marhalah ini adalah marhalah yang terpenting yang merupakan ujian 
sebenar terhadap commitment seseorang muslimah terhadap pengisian dan 
kefahamannya terhadap Islam. Islam yang hanya sekadar diteorikan tidak 
akan mendatangkan sebarang hasil. Dalam marhalah ini, 3 unsur utama yang 
harus diperhatikan adalah: 

3.1 Al Iman al 'amiq: Iman yang mendalam. 

3.2. Tanzim ad daqiiq: Penyusunan organisasi gerak kerja yang teratur 
lagi menyeluruh.

3.3. Al amal mutawasil: Kerja dan komitmen yang dibuat berterusan dan 
bukan hanya kerana masa yang tertentu, kawan atau suasana. 

Dalam marhalah ini, muslimah tidak lagi dapat menyendirikan diri untuk 
membawa risalah Islam. Panduan Al Quran dengan jelas memerintahkan 
pejuang Islam untuk berada dalam satu saf yang tersusun rapi:

"Sesungguhnya Allah mengasihi mereka yang berjuang di jalanNya dalam 
satu saf seolah-olah batu-bata yang tersusun rapi..." AS SAFF: 3.

Marhalah ini mengajak muslimah untuk keluar di tengah-tengah medan dan 
bersama mengangkat panji-panji Islam untuk ditegakkan di tengah-tengah 
kejahilan ummah. 

Marhalah ini adalah marhalah muwajahah (berdepan) dengan realiti 
perjuangan da'wah yang akan mengajak kepada pengorbanan yang sebenarnya. 
Tidak ada di sana sebarang perjuangan yang tidak ada pengorbanan. 
Pengorbanan dalam da'wah adalah terlalu luas dan banyak bidangnya yang 
mengajak kita untuk mengurus dan mentadbir diri kita ini dengan 
sebaik-baik tanzim. 

Penutup 

Setelah kita melihat segala tuntutan ini dengan jelas menunjukkan bahawa 
tanggung jawab yang ada di bahu kita adalah lebih banyak dari kemampuan 
yang kita miliki, maka dengan demikian hadith Rasulullah SAW: "Ilzim 
jama'tul muslimin wa ima mahum"; Lazimkanlah diri kamu dengan jemaah 
Islam dan Imam (pimpinan) mereka, adalah merupakan satu komitmen yang 
jelas mengajak kita semua untuk bersatu bersama jemaah. 

Ikrar sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya 
kerana Allah akan hanya teruji kalau kita bersama dengan harakah 
Islamiyyah. Perjuangan yang tidak bersifat haraki adalah perjuangan yang 
tidak menepati contoh yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan cita-cita 
Islam tidak akan tercapai kalau kita hanya menyatakan bahawa Islam itu 
benar, indah dan sempurna tetapi kebenaran, keindahan dan kesempurnaan 
itu tidak kita jihadkan dan kita da'wahkan. 

UST NASARUDDIN MAT ISA

[AZ ZAHRA, Winter 95 - Mendidik Pemikiran Siasi Islami]