Bismillah Walhamdulillah Was Salaatu Was Salaam 'ala Rasulillah.

Tidaklah mencukupi kalau hanya kita menjadi muslim pada diri kita 
sendiri. Kita hanya bertindak sebagai individu muslim yang beribadat 
kepada Allah (s.w.t), menghiasi dirinya dengan akhlak yang baik dan 
tidak menyakiti seseorang, kemudian tidak ada lagi yang lain dari itu. 
Itu belum mencukupi lagi.

Lebih dari itu, Islam kita adalah merangkumi urusan-urusan jemaah 
(masyarakat). Ia adalah satu-satunya sistem hidup yang lengkap dan 
sempurna. Satu pemerintahan dan perundangan Islam. Satu daulah dan 
negara. Islam kita adalah jihad dan satu umat. Inilah fahaman yang benar 
dan sahih terhadap Islam. Fahaman itulah yang mengajarkan kita berbagai 
tanggungjawab dan kewajipan yang meliputi kita. Wajiblah kita 
menyempurnakan dan melaksanakannya kerana ianya telah diperintahkan oleh 
Allah (s.w.t). Dengan pelaksanaan itu dapat dibangunkan satu masyarakat 
manusia berasaskan kaedah-kaedah atau dasar-dasar Islam di dalam segala 
jurusan; samaada dari segi politik, ekonomi, perundangan, kemasyarakatan 
dan seterusnya. Kita mestilah memahami bahawa Islam ini mewajibkan kita 
berusaha dan berjuang dengan bersungguh-sungguh supaya Islam berkuasa di 
muka bumi. Firman Allah Taala:

"...sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) agama itu hanya untuk 
Allah semata-mata." (Al Baqarah: 193)

Jadi wajiblah kita menyampaikan seruan agama ini kepada manusia 
seluruhnya. Seorang muslim tidak mungkin boleh hidup sebagai muslim 
dengan KeIslaman yang sahih dan sempurna kalau dia mengasingkan dirinya 
dari saudara-saudara muslimin dan tidak memperdulikan segala apa yang 
terjadi kepada mereka, segala gangguan, sama ada berupa fitnah dan 
serangan dari musuh-musuh Allah (s.w.t), musuh-musuh Islam, dari 
berbagai ceruk rantau di muka bumi.
 
"Barangsiapa yang tidak memperdulikan urusan muslimin maka dia bukanlah 
dari mereka. " (Maksud Hadith)
 
Tuntutan dakwah Islamiah di hari ini mewajibkan setiap umat Islam 
berusaha bersungguh-sungguh membangunkan Ad Daulah al-Islamiah 
(pemerintahan Islam) yang melaksanakan syariat Islam. Bertitik tolak 
dari situlah kita akan membangunkan kembali Al Khilafatul Islamiah 
(pemerintahan Islam sejagat). Al Khilafatul Islamiah itu dahulunya telah 
ditipu dan dihancurkan oleh musuh-musuh Islam.

Betapa besarnya bahaya dan bencana yang telah menimpa umat Islam pada 
hari ini. Perpecahan di kalangan umat Islam, serangan dari musuh-musuh 
Allah (s.w.t) sama ada dari luar atau dari dalam, fitnah-fitnah terhadap 
muslimin yang bertujuan merosakkan akidah muslimin, masjid-masjid 
muslimin yang dirosakkan, kehormatan wanita mereka yang dicabul, harta 
kekayaan dan bumi mereka telah dirompak dan anak-anak muslimin dibentuk 
menurut kemahuan mereka. Ini semua adalah akibat dari tidak adanya Ad 
Daulah Islamiah. Hanya AdDaulah Islamiah sahajalah yang mampu menyerang 
balas segala anasir jahat musuh-musuh Islam itu.

Ad-Daulah-Islamiah yang mampu menyatu-padukan umat Islam dan 
melaksanakan ajaran Islam serta menegakkan syariat Islam di selurnh 
dunia. Perlu juga dijelaskan bahawa mas'uliah atau tanggungjawab 
mendirikan Ad Daulah Islamiah bukan sahaja terhad di kalangan Al Umara' 
dan Al Ulama (pemerintah dan ulama). Tanggungjawab ini hendaklah dipikul 
bersama. Wajib dipikul oleh setiap muslimin laki-laki dan perempuan yang 
sedang berada di dalam zaman ini, di zaman kebangkitan Islam, di zaman 
kebangkitan Dakwah Islam. Sesungguhnya seluruh muslimin di mana jua pun 
mereka berada, akan menanggung dosa besar apabila mereka tidak berusaha 
dan tidak bekerja untuk membangunkan Ad Daulah Islamiah.

[Utz Mustafa Masyhur]