Mu'min Dan Hukum-Hukum Islam [Part 1]. 

Pada dasarnya seseorang itu menganut Islam kerana keyakinan yang 
berlandaskan kepada kefahamannya terhadap ajaran-ajaran Islam. Iman yang 
benar adalah Iman yang wujud dalam hati secara penuh sedar dan bukan 
sesuatu yang diada-adakan. Tidak ada seorang pun yang boleh menjadi 
seorang Muslim yang Mu'min dalam pengertiannya yang sebenar tanpa ia 
mempelajari atau diajarkan kepadanya berkenaan Islam itu sendiri. 
Bertolak dan garis ini, seseorang yang menganut Islam dengan penuh 
kesedaran dan menghiasi dirinya dengan Iman yang benar adalah seorang 
Muslim yang ber'ilmu. Sejauh mana 'ilmunya dapat dimanfa'atkan oleh 
orang lain maka itu adalah persoalan lain. Pokoknya, yang penting dia 
berpegang dan meng'amalkan Islam dengan penuh kesedaran dan dipandu 
dengan 'ilmu pengetahuan.

Menurut dasar ini seseorang Muslim itu dapat mengetahui hukum-hukum 
syari'at keseluruhannya melalui dalil-dalilnya secara langsung. Tetapi 
pada hakikatnya ini bukanlah satu perkara yang mudah. Mungkin ia mampu 
untuk memahami beberapa perkara sahaja dan sumbernya secara langsung, 
tetapi tidak mampu untuk memahami sudut-sudut yang lain. Ini adalah 
kerana untuk menguasai seluruh bidang Islam yang luas, ianya memerlukan 
penumpuan masa dan tenaga yang begitu banyak, tambahan pula kemampuan 
ini kebiasaannya hanya dapat dicapai oleh orang-orang yang mempunyai 
kekuatan 'aqal dan daya kecerdikan yang sangat tinggi. Sedangkan 
anugerah seperti ini tidak diberikan oleh Allah kepada semua manusia. 
Dan sunnatullah yang berlaku di dalam sejarah dan kehidupan manusia 
ternyata bahawa pada umumnya manusia seperti ini adalah kecil 
bilangannya.

Oleh yang demikian, kerana kebanyakan di kalangan manusia terdiri dari 
orang-orang yang terbatas kemampuannya untuk memahami Islam dalam segala 
seginya daripada sumber-sumbernya yang asal, maka Islam menetapkan 
mereka bertanya kepada orang-orang yang lebih mengetahui.

Firman Allah:

"Bertanyalah kepada ahli 'ilmu sekiranya kamu tidak mengetahui." 
[An-Nahl:43]

[Risalah Usrah, Jilid 1, Bhgn. 2: Asas-Asas Kefahaman Islam]