Mu'min Dan Hukum-Hukum Islam [Part 3]. 

Keizinan syara' bagi umat Islam berpegang kepada mana-mana mazhab adalah 
menurut syarat-syarat berikut:

1. Memahami bahawa asas-asas pembinaan Islam yang utama adalah Al-Qur'an 
dan As-Sunnah, mazhab hanyalah sebagai satu sistem untuk memudahkan 
pemahaman dan perlaksanaan terhadap apa yang terkandung di dalam 
kedua-duanya.

2. Tidak meletakkan seseorang Imam mazhab sebagai ma'sum dan tidak 
menjadikan sesuatu mazhab sebagai satu-satunya sahaja sumber asasi 'ilmu 
Islam dan menganggap tidak ada selain darinya yang boleh diterima 
sebagai sumber dalam memahami dan melaksanakan hukum-hukum Islam.

3. Berpegang kepada ketetapan sesuatu mazhab tidak bererti menyalahkan 
ketetapan mazhab yang lain selagi mana mazhab tadi masih mempunyai 
hujjah terhadap apa yang ditetapkannya.

4. Berpegang kepada sesuatu mazhab dalam kebanyakan masalah-masalah fiqh 
tidak bererti tidak boleh berpegang kepada sesuatu mazhab lain dalam 
sesuatu masalah yang tertentu.

[Sebagai contoh mazhab Syafi'e menetapkan zakat fitrah cuma boleh 
diberikan dengan memberikan barangan yang menjadi makanan asasi penduduk 
di negeri di mana zakat itu dikeluarkan. Menurut mazhab Hanafi pula, 
zakat ini boleh diberikan dengan mengeluarkan wang yang senilai dengan 
barangan tadi. Kita dapati di Malaysia yang majoriti umat Islam 
berpegang kepada mazhab Syafi'e, mengeluarkan zakat fitrah dengan Wang. 
Di sini tidak sedikit pun timbul masalah keluar dari mazhab Syafi'e dan 
berpindah kepada mazhab Hanafi.]

Istilah berpindah mazhab sebenarnya tidak wujud, apa yang tepat ialah 
berpindah kepada pendapat yang lebih kuat hujjahnya.

[Dalam perkara-perkara yang bersifat furu' (cabang) seseorang Muslim 
awam boleh berpindah kepada satu hujjah yang lebih kuat menurut apa yang 
telah ditarjih atau dikuatkan oleh ulama'. Oleh itu biasanya ia tidak 
mentarjihkan sesuatu perkara itu sendiri tetapi memilih daripada apa 
yang telah ditarjihkan oleh ulama'. Dalam perkara-perkara lain pula, 
pentarjihan ini cuma boleh dibuat oleh pemerintah di dalam negara Islam, 
sekiranya tidak ada negara Islam, maka pentarjihan, ataupun fatwa ini 
cuma boleh dibuat oleh satu badan yang terdiri daripada para ulama' yang 
diiktiraf oleh umat Islam.]

5. Tidak memberat-beratkan Ad-Din dengan masalah-masalah furu' sehingga 
mengenepikan keutamaan-keutamaan Islam yang sebenar. Tidak menjadikan 
masalah khilafiyyah mazhab sebagai punca perpecahan umat Islam. Tidak 
pula ada salahnya membuat penyelidikan terhadap masalah khilafiyyah 
asalkan ianya dilakukan dengan penuh mahabbah kerana Allah dan bersih 
dari sikap ta'asub demi untuk mencari kebenaran. [Usul 20: Imam Hasan 
alBanna]

6. Berpegang kepada mazhab sebagai panduan untuk mengembangkan 'ilmu 
Islam bukan untuk menyempitkannya, membuka luas pintu ijtihad bukan 
untuk menutupnya dan bukannya menggalakkan taqlid tetapi untuk 
mengembangkan ittiba' iaitu mengikut sesuatu dengan kefahaman dan 'ilmu 
pengetahuan.

7. Berpegang kepada satu mazhab adalah sebagai asas permulaan untuk 
mendalami hukum-hukum Islam. Selepas itu hendaklah terus berusaha untuk 
meningkatkan 'ilmu agar dapat:

a. Memahami hujjah-hujjah yang terperinci terhadap perkara-perkara yang 
ditetapkan oleh mazhab tersebut, ataupun

b. Memahami hujjah-hujjah yang terperinci terhadap perkara-perkara yang 
ditetapkan oleh mazhab-mazhab lain sehingga mampu untuk membuat 
perbandingan dan boleh memilih dalam perkara-perkara yang telah ditarjih 
oleh ulama', ataupun

c. Mencapai ke peringkat nazar iaitu dapat melihat sendiri dalil-dalil 
dan sumber-sumbernya yang asal dan melakukan istinbat atau mengeluarkan 
hukum melalui fahaman zahir, atau melalui istidlal, iaitu satu proses 
pengeluaran hukum dengan jalan menggunakan ijtihad atau qiyas. [Usul 20: 
Imam Hasan alBanna]
 
[Risalah Usrah, Jilid 1, Bhgn. 2: Asas-Asas Kefahaman Islam]