Bismillah Walhamdulillah Was Salaatu Was Salaam 'ala Rasulillah.

Ibadah Yang Syumul (meliputi segala jurusan hidup)
 
Ibadah di dalam Islam bukan hanya solat, puasa, zakat dan ibadat haji 
sahaja. Tetapi ibadat di dalam Islam merangkumi segenap kegiatan hidup 
dengan segala jurusannya. Termasuklah urusan makan minum, pakaian, ilmu 
dan amal, perkahwinan dan rumahtangga, masyarakat dan negara, memelihara 
anak-anak dan seterusnya. Itu semua adalah ibadah kepada Allah (s.w.t) 
apabila mencukupi dua syarat:

Syarat pertama: Niat kerana Allah (s.w.t)

Syarat kedua: Cara melaksanakannya sesuai dengan syariat Islam.

Syarat Pertama:

Niat, selagi kita membuat (dengan niat kerana Allah) apa sahaja kerja 
yang tidak haram menurut pandangan Islam, selagi itulah kerja-kerja kita 
dinamakan ibadah. Kerja-kerja tersebut pula dijadikan alat kita untuk 
menyempurnakan taat kita kepada Allah (s.w.t), dan akan memudahkan kita 
merealisasikan kehendak Allah (s.w.t) yang telah menjadikan kita 
khalifah di muka bumi.

Lantaran itu, jika kita makan dan minum supaya kita bertenaga untuk taat 
kepada Allah (s.w.t) dan beribadat kepadaNya, maka makan dan minum kita 
tadi berubah menjadi ibadat dan mendapat pahala. Mencari rezeki pun 
menjadi ibadat kepada Allah (s.w.t). Demikian juga kita mencari ilmu 
yang berfaedah untuk umat Islam dan negara Islam, ia akan menjadi 
ibadat. Kita akan mendapat pahala dari segala harta, usaha dan masa yang 
kita korbankan untuk mencapai ilmu ikhtisas demi kepentingan muslimin 
dan daulah Al-Islam. 

Kita mencari rezeki yang halal untuk menegakkan hidup kita dan memenuhi 
segala keperluan kita sekeluarga, juga menjadi ibadat kepada Allah 
(s.w.t). Demikian juga kalau kita bernikah kahwin untuk memelihara diri 
kita dari maksiat juga akan menjadi ibadat kepada Allah (s.w.t). Justeru 
itu kita mendirikan rumahtangga muslim yang menjadi tiang kuat di dalam 
membangunkan Ad-daulah al-Islamiah, negara Islam. Rumahtangga ini kelak 
akan melahirkan zuriat yang salihah (keturunan yang baik) yang 
memelihara dan membentuk asas-asas perlaksanaan Islam berlandaskan 
Al-Qur'an dan sunnah Nabi (s.a.w). Mereka ini kelak akan menjadi 
jenerasi muda Islam dan Allah akan memuliakan Islam dengan jihad mereka. 
Perkahwinan seperti ini dan kesusahan mendidik anak cucu, semuanya itu 
berubah menjadi ibadat kepada Allah (s.w.t). 

Bersenam (riadhah) untuk menguatkan jasmani kita demi memelihara 
kesihatan supaya mampu dan kuat memikul tugas dakwah dan berjihad pada 
jalan Allah (s.w.t) juga menjadi ibadat. Demikianlah dunia menjadi 
mihrab, menjadi tempat beribadat kepada Allah (s.w.t). Inilah mihrab 
yang besar, yang padanya kita melaksanakan amal dan usaha yang semuanya 
merupakan ibadat kepada Allah (s.w.t) dengan kemuliaan niat benar kerana 
Allah Taala.

Syarat Yang Kedua:

Segala usaha dan amal yang kita kerjakan itu mestilah sesuai dengan 
syariat Allah (s.w.t) dan ajaran Islam. Jadi kita tidak makan dan minum 
kecuali yang halal. Kita tidak berpakaian kecuali yang halal. Kita 
melakukan sebarang amal dan usaha sesuai dengan syariat Allah (s.w.t) 
dan menurut ajaran Islam. Semuanya itu menjadi ibadat yang diredhai 
Allah Taala. Adalah tidak munasabah bagi seseorang yang makan makanan 
yang diharamkan oleh Allah (s.w.t) untuk menguatkan dirinya bagi 
bertakwa dan mentaati Allah (s.w.t).

Demikianlah sikap kita di dalam peringkat ini. Setiap individu muslim 
mestilah mengikat seluruh kegiatan hidupnya, segala gerak gerinya atau 
diamnya, kata-katanya, tidur dan bangunnya, dengan syariat Allah 
(s.w.t). Justeru itu segala kegiatan hidup kita menjadi ibadat kepada 
Allah (s.w.t) dan bukan hanya terbatas kepada empat fardhu yang terkenal 
itu (solat, puasa, zakat dan haji).

[Utz Mustafa Masyhur]