Bismillah Walhamdulillah Was Salaatu Was Salaam 'ala Rasulillah.

IKHWAN...DAN PERJALANAN IMAM AL-BANNA.

Satu persoalan dibangkitkan: Adakah Ikhwanul Muslimin hari ini serta 
pimpinannya telah menyeleweng daripada jalan yang dilalui oleh Imam 
Hassan al-Banna ataupun tidak?  

Imam al-Banna rahimahullah telah menyatukan Ikhwan atas kefahaman Islam 
yang benar. Beliau telah menggariskan jalan untuk bergerak dengan 
beroborkan Sirah Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam. Beliau telahpun 
menetapkan tujuan dan matlamat. Begitu juga, beliau telah meletakkan 
garis-garis kasar, tujuan-tujuan yang mengikut peringkat, serta wasilah 
yang boleh dan disyarakkan, untuk melaksanakan tujuan serta peringkat 
tersebut.

Faham — Salah satu dari usul dua puluh:

Dalam rukun Faham kita dapati Al-Banna telah meletakkan dua puluh usul. 
Ia adalah sebagai lingkungan untuk memahami Islam yang bersumber 
daripada Al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah Sallallahu alalhi wasallam. 
Beliau telah menjadikan rukun Faham ini sebagai rukun yang pertama 
sekali antara rukun-rukun bai'ah yang sepuluh. Pada hakikatnya, rukun 
bai'ah tersebut adalah merupakan bai'ah dengan Allah kerana ia menjamin 
kefahaman tersebut daripada ditukar atau diubah.

Dalam soal rukun Faham ini, kami telah dan sedang menghadapi cubaan dan 
ujian di antara dua golongan. Golongan tersebut ialah golongan yang 
meringankan rukun ini dan golongan yang keterlaluan. Golongan pertama 
mahukan supaya kita bertolak ansur pada sebahagian sudut-sudut Islam 
yang akan membangkitkan kemarahan pemerintah dan musuh yang kelak akan 
mendedahkan kita kepada fitnah. Golongan kedua telah melampau, sehingga 
mereka mencanggahi asas dua puluh ini dan dengan mudah telah 
mengkafirkan semua orang-orang Islam lain dari mereka. Oleh itu, untuk 
memberikan hak bai'ah, kita tidak seharusnya tunduk kepada kemahuan 
kedua-dua golongan ini, supaya dengan itu kita akan memperolehi 
kefahaman yang betul, tanpa sebarang penukaran dan perubahan.


Imam Al-Banna dengan perselisihan-perselisihan furuk.

Imam Hassan al-Banna rahimahullah telah mengingatkan mengenai 
terdapatnya perkara-perkara furuk yang mempunyai perselisihan fiqh. 
Beliau menggesa kita supaya tidak berselisih faham mengenai perkara 
tersebut. Beliau berpesan supaya kita saling bekerjasama dalam 
perkara-perkara yang sama-sama kita sepakati. Manakala dalam 
perkara-perkara yang kita perselisihkan pula, hendaklah kita saling 
memaafkan. Dalam perkara-perkara furuk yang mempunyai lebih dari satu 
pendapat, Imam al-Banna tidaklah mewajibkan semua Ikhwanul Muslimin agar 
menerima satu pendapat sahaja. Setiap pendapat itu ada dalilnya. Al 
Banna tidaklah mewajibkan Jemaah Ihkwan agar bertukar menjadi satu 
firkah atau mazhab.

Kadang-kadang berlaku peristiwa, di mana setengah anggota Ikhwan menulis 
atau menyatakan sesuatu kaul (pendapat), yang kadang-kadang bercanggah 
juz'i-nya dengan yang digariskan dalam usul dua puluh. Perkara 
sedemikian tidaklah bererti Jemaah Ikhwan seluruhnya, sudah menyeleweng 
dari kefahaman yang telah dimulakan oleh Hassan al-Banna.

[Utz Mustafa Masyhur]