Bismillah Walhamdulillah Was Salaatu Was Salaam 'ala Rasulillah. Adakah Ikhwan Sudah Merubah... Adakah Ikhwan dan pimpinannya hari ini telah mengubah tujuan serta matlamat mereka? Ataukah mereka sudah menyeleweng kepada tujuan-tujuan yang lain? Adakah mereka telah mengurang atau memisahkan terus tujuan tersebut? Adakah mereka meletakkan tujuan memerintah itu sendiri, dengan tujuan duniawi? Ataukah mereka terus mengekal dan mengukuhkan lagi tujuan menegakkan daulah Islamiah yang diatasnya sistem Khilafah Islamiah? Sebenarnya bila mereka bertujuan mencapai perkara tersebut, pada hakikatnya mereka hanyalah ingin mencari keredhaan Allah. Allahlah yang menjadi matlamat. Untuk itu, mereka sanggup menanggung segala penderitaan. harakah... marhalah... dan wasilah Dalam bidang harakah (gerakan) dakwah, tujuan-tujuan yang berperingkat, serta wasilah-wasilah; Imam al Banna telah menyebutkan bahawa, wasilah-wasilah tersebut ialah: 1. Iman yang mendalam 2. Takween (pembentukan) yang teliti, dan 3. Amal yang berterusan. Beliau menyatakan adanya marhalah-marhalah: takrif, takween dan tanfiz. Dalam rukun amal, yang merupakan salah satu dari rukun-rukun bai'ah beliau menyebut mengenai peringkat amal dan pemeringkatannya, iaitu mengadakan: 1. Individu Muslim. - Beliau telah menyebut sifat-sifat tertentu individu tersebut. Setelah itu... 2. Rumahtangga Muslim, 3. Masyarakat Muslim, 4. Membebaskan tanah air Islam daripada setiap kuasa asing, 5. Mengadakan kerajaan Islam 6. Menubuhkan semula umat Islam dan menghidupkan kembali sistem Khilafah dan 7. Menjadi ustaz seluruh alam dengan menyebarkan dakwah Islam yang syamil. Beliau telah menjadikan Amal sebagai salah satu dari rukun bai'ah untuk menjaganya dari ditukar dan diubah. Beliau menyebutkan berbagai wasilah yang berbeza untuk melaksanakan tujuan-tujuan yang berperingkat itu. Ia menjadikan jihad sebagai jalan yang mesti ditempuhi. Ia adalah merupakan perkara yang telah difardhukan dan menjadi kemuncak tugas. Beliau telah menekankan tentang jihad dengan kata-kata dan amalan.