Assalamu'alaikum wbt.

Al-Ikhwan al-Muslimin juga terlibat secara langsung dalam percaturan 
politik dan berhadapan dengan masalah-masalah dan isu-isu semasa yang  
dihadapi oleh negara. Al-Ikhwan terpaksa mengkritik dan memprotes pihak 
pemerintah jika didapati sesuatu keputusan atau tindakan yang diambil 
oleh pemerintah itu bertentangan dengan Islam dan kepentingan negara. 
Dari semasa ke semasa, al-Ikhwan al-Muslimin telah mula menampakkan 
kekuatan dan kematangannya dalam berpolitik. Pengaruhnya bukan sahaja 
meresap di kalangan pegawai-pegawai kerajaan, tetapi juga di kalangan 
kaum tentera terutamanya pegawai-pegawai yang berpangkat tinggi termasuk 
Jamal Abdul Nasir sendiri.
     
Dalam penyusunan ketenteraan, al-Ikhwan telah berjaya melatih 
pemuda-pemuda untuk menghadapi serangan Zionis di Palestin. Pada bulan 
April 1948 al-Ikhwan al-Muslimin telah menghantar tiga batalion 
tenteranya turut berperang di Palestin bersama-sama dengan dua belas 
batalion tentera Mesir.

DALAM strategi pembangunan ummat, kegiatan ekonomi merupakan salah satu 
program yang perlu diambil berat terutamanya untuk menjamin mua'malahnya 
itu halal menurut hukum syarak. Dalam hal ini Hasan al-Banna menerusi 
al-Ikhwan al-Muslimin telah berjaya menubuh beberapa buah syarikat 
antaranya: Syarikat Mu' amalah Islamiyah, Syarikat perlombongan, 
Syarikat Suratkhabar Ikhwan, Syarikat Iklan Arabi dan Syarikat 
Perdagangan dan Senibina. Di samping itu dibinanya hospital-hospital dan 
klinik-klinik. Para pemuda pula diberi bimbingan dalam berbagai-bagai 
kegiatan. Sementara akhawat muslimat juga telah berjaya membina sebuah 
institusi pendidikan dinamakan Dar al-Tarbiah al-Islamiyah bagi kaum 
puteri.