Bismillah Walhamdulillah Was Salaatu Was Salaam 'ala Rasulillah.

ISLAM...AGAMA JEMAAH...AGAMA DUNIA DAN AKHIRAT.

Islam kita yang agung ini bukanlah sebagai agama kepaderian individu. Ia 
adalah ad-Deen yang menghimpunkan antara dunia dan akhirat. Ia adalah 
ad-Deen bagi jemaah yang satu, umat yang satu, watan yang satu dan juga 
jasad yang satu. Bila satu anggota merasa sakit, maka seluruh tubuh itu 
akan merasa derita dan terpaksa berjaga malam. Ia adalah ad-Deen yang 
menghendaki setiap Muslim agar mengambil berat masalah-masalah seluruh 
umat Islam, tidak kira di bumi mana pun mereka berada. Setiap Muslim 
mesti menitikberatkan masalah umat Islam yang terdedah pada 
serangan-serangan musuh dan ditimpa penderitaan.

Sabda Rasulullah (s.a.w):

"Sesiapa yang tidak mengambil berat urusan kaum Muslimin maka ia bukan 
dari kalangan mereka. "

Di sini terdapat tanggungjawab umum yang diberikan oleh Islam kepada 
setiap Muslim dan Muslimah. Ia pasti akan ditanya di hari Kiamat kelak 
mengenai tanggungjawab tersebut.

Sesungguhnya ribuan nyawa kaum Muslimin telah hilang. 
Kehormatan-kehormatan wanita telah dicabuli. Anak-anak kaum Muslimin 
membesar secara bukan Islam. Syariat Islam telah ditinggal dan 
digantikan dengan undang-undang ciptaan. Akidah telah dirosakkan, 
tempat-tempat suci umat Islam dicerobohi, perang ditimbulkan dan 
peperangan serta permusuhan sesama kaum Muslimin telah juga dicetuskan. 
Semua itu dan banyak lagi perkara lain, kesemuanya menimbulkan 
persoalan; adakah keislaman seseorang Muslim yang tidak peduli, serta 
tidak sensitif dengan perkara-perkara yang menyedihkan itu akan 
diterima? Jawapannya tentulah tidak.


Kerajaan Dalam Islam... Adalah Antara Perkara-Perkara Aqidah dan Usul. 
Ia Bukannya Masalah-Masalah Fiqh dan Furuk .

Setelah kita faham bahawa tidak ada cara lain untuk memperbaiki dan 
merubah realiti pahit ini kecuali dengan menegakkan Negara Islam yang 
dapat meneguhkan agama Allah, melaksanakan SyariatNya, memelihara nyawa, 
kehormatan bumi, harta dan anak-anak kaum Muslimin; maka Islam 
menjadikan kerajaan sebagai salah satu dari rukun-rukunnya.

Dalam kitab-kitab fiqh, kita menyatakan pemerintahan adalah dikira 
sebagai aqidah dan usul. Ia bukannya termasuk dalam masalah-masalah fiqh 
dan furuk (ranting). Nabi Sallallahu alaihi wasallam telah menjadikannya 
sebagai salah satu dari pengikat-pengikat Islam. Bahkan sesiapa yang 
mengingkari perkara ini ia menjadi kafir dan terkeluar dari agama Islam.

Setelah kita faham bahawa tanggungjawab menegakkan Negara Islam ini 
terpikul di bahu setiap Muslim dan Muslimat yang mana ia bukan sahaja 
terpikul di bahu pemerintah atau ulamak, maka wajiblah stiap Muslim dan 
muslimat memainkan peranan untuk menunaikan kewajipan Islam ini. Situasi 
peringkat umur dakwah Islamiah yang sedang kita hayati kini, iaitu 
setelah kejatuhan negara dan khilafah Islamiah, telah mewajibkan kita 
menjalankan tugas ini.

Adalah berdosa mereka yang menyempitkan amalan Islam setakat ilmu, 
ibadah, zikir dan berbuat baik sahaja, tanpa berusaha untuk menunaikan 
kewajipan ini. Ilmu dan ibadah sahaja belum cukup lagi jika kaum 
Muslimin terus begini, dimamah puas oleh musuh-musuh Allah yang 
menceroboh segala kehormatan kaum Muslimin. Bahkan juga musuh-musuh 
Allah tersebut akan memisahkan para abid, pelajar-pelajar serta 
ahli-ahli zikir daripada ibadat, ilmu dan zikir mereka. Anak-anak mereka 
akan membesar secara bukan Islam, dan mereka tidak akan dapat berbuat 
apa-apa lagi.

Bila kewajipan asasi dan terpenting ini, iaitu menegakkan negara Islam, 
tidak dapat disempurnakan secara individu, bahkan mestilah dilakukan 
dengan proses amal jamaie yang terancang rapi... maka fahamlah kita: 
bahawa berjemaah dan beramal jamaie itu adalah diwajibkan pada setiap 
Muslim dan Muslimat. Amalan secara individu yang berselerak dan tidak 
tersusun itu adalah gagal memenuhi tuntutan amal jamaie. Sebabnya setiap 
perkara wajib yang tidak dapat sempurna kecuali adanya sesuatu perkara 
lain, maka perkara itu wajiblah diadakan.


Imam Hassan al-Banna Menggariskan Jalan.....

Imam Hassan al-Banna telah diberi petunjuk mengenai perkara ini. Setelah 
mengkaji realiti kaum Muslimin serta sirah Rasulullah Sallallahu alaihi 
wasallam secara mendalam, beliau menggariskan kepada kita jalan ke arah 
amal jamaie yang tersusun. Jalan dakwah iaitu jalan yang sama dengan 
jalan yang dilalui oleh Rasulullah Sallallahu alahi wasallam dan para 
sahabatnya radhiallahu anhum, iaitu semasa mereka menegakkan negara 
Islam yang pertama. Kami sedang berjalan di atas jalan tersebut dan kami 
mengajak orang lain menjalaninya sama. Hari-hari serta 
peristiwa-peristiwa yang telah berlaku telah menambahkan lagi 
kepercayaan kami terhadap jalan tersebut.

Demikianlah, dengan secara amat ringkas kami berpendapat, dalam 
peringkat umur dakwah ini, adalah wajib setiap Muslim dan Muslimat 
bekerja menegakkan negara Islam.  

[Utz Mustafa Masyhur]