JEMAAH ISLAM CONTOH  (petikan dari buku Sheikh Mustafa Mashyur, Mursyid
AlAam Ikhwan Muslimin)

Seperti kata-kata Saidina Ali (ra), "Janganlah kamu kenali sesuatu
kebenaran itu kerana orangnya, sebaliknya kenalilah kebenaran tersebut
dahulu, nanti kamu akan kenali orangnya". Hatta, dengan jemaah juga,
seseorang itu harus mengetahui terlebih dahulu ciri-ciri jemaah
tersebut sebelum menggabungkan diri kedalamnya.

Artikel ini adalah berdasarkan huraian Sheikh Mustafa Mashyur dalam
bukunya, 'Contoh Tauladan Sepanjang Jalan Dakwah' dan 'Dakwah
Fardiah'. Perkara-perkara yang dihuraikan hendaklah diambil sebagai
panduan atau rujukan bagi sesiapa sahaja yang ingin membuat pilihan
dan menggabungkan diri dalam sesebuah jemaah untuk menunaikan
tanggungjawab dakwah yang diwajibkan keatasnya. Pilihan seseorang itu
memerlukan perincian yang halus, hikmah, penjelasan yang terang dan
meyakinkan dan tidak terburu-buru. Dalam medan dakwah masakini,
terdapat banyak jemaah-jemaah yang mempunyai ciri-ciri tersendiri, dan
huraian ini juga tidak bertujuan untuk menimbulkan perbezaan dan
persengketaan antara jemaah yang sedia ada, tetapi sebaliknya
mengharapkan ianya dijadikan sebagai titiktolak bagi sesebuah jemaah
tersebut untuk kembali kepada hakikat kesatuan ummah sejagat
berdasarkan ciri-ciri haraki Islam yang dihuraikan.

Dua puluh (20) perkara asasi yang perlu ada pada sebuah Jemaah Islam
Contoh ialah :

1) Tujuan menegakkan jemaah ini ialah kerana Allah dan memiliki segala
ciri-ciri Rabbani, serta mencari keredhaanNya (mardhatillah). Jemaah
ini jauh dari matlamat keduniaan seperti mencari kemasyhuran,
kedudukan atau suka menonjol diri. Jemaah ini hendaklah juga jauh dari
dorongan-dorongan Jahiliyyah seperti taa'sub kelompok (assabiyah),
batas-batas geografi atau kenegaraan (nationalisma), dan seumpamanya.
Perkara seperti ini akan merosakkan amalannya dan membawa jemaah ini
kearah kegagalan.

2) Jemaah Islam ini hendaklah menggunakan AlQuran dan Sunnah sebagai
sumber rujukan, dan menjaga dirinya supaya ia tidak tunduk dibawah
kehendak orang tertentu, kerajaan ataupun apa sahaja, sekiranya ia
memberi kesan buruk kepada kepada gerakan dakwahnya atau mempengaruhi
mesej dakwahnya.

3) Jemaah itu dibangunkan atas tujuan yang menyeluruh dan bersepadu
yakni untuk menegakkan agama Allah dibumi ini dengan mendirikan Daulah
Islamiah Alamiyyah (Negara Islam Sedunia). Manhajnya (methodologi)
adalah berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw) untuk
mencapai tujuan ini, dan juga apa yang disyariatkan oleh Islam (ijmak
atau qias). Jemaah tidak sepatutnya mengongkong dirinya dalam
'perkara-perkara juzuk' dalam Islam seperti ekonomi, politik, ibadah
dan sebagainya.

4) Kefahaman jemaah ini terhadap Islam hendaklah menyeluruh
(kesyumulan Islam) dan pendekatan dakwah yang digunakan juga adalah
bersifat menyeluruh (syamil). Kefahaman Islam, cara dan mesej dakwah
yang dibawa mesti bertepatan dengan Quran dan Sunnah Rasulullah (saw),
dan  bersih dari sebarang kesamaran, penyelewengan dan perbezaan
pendapat yang boleh memecah-belahkan orang-orang Islam.

5) Jemaah ini mestilah bersifat universal (alamiyyah) dan tidak
tertakluk pada batas-batas negeri dan suku bangsa, kerana dakwah Islam
adalah ditujukan kepada sekelian alam. Jemaah ini juga menekankan
bahawa orang-orang Islam semuanya adalah umat yang satu (wahdatul
ummah) dan sentiasa bergerak kearah kesatuan ummah. Dengan sifat
alamiyyahnya, jemaah ini berjuang untuk menegakkan Negara Islam
Alamiyyah dengan menggunakan Kaedah Sulbah, bukan Negara Islam
Geografi sahaja. (sila rujuk karangan Ustaz Said Hawa, 'Durus Fil Amal
AlIslami')

6) Jemaah ini mestilah mengikut kaedah perjuangan yang digunakan oleh
Rasulullah saw ketika baginda mendirikan Negara Islam. Kaedah yang
digunakan oleh Rasulullah (saw) adalah berperingkat (marhalah),
beransur-ansur (tadarruj), kejelasan risalah dakwah, kemampuan ahli,
melaksanakan hikmah dan kewaspadaan dalam setiap langkah, serta
mengambil kira faktor persekitaran (waqi'). Baginda mementingkan
perkara-perkara seperti kemantapan aqidah, iman dan ibadah,
mengutamakan kekuatan persaudaraan dan penyatuan umat Islam, mengambil
kira prinsip jihad dan ketenteraan, tarbiyyah, dan lain-lain lagi.
Jemaah ini mesti menekankan Kaedah Sulbah yakni, membina individu
Islam, keluarga Islam, masyarakat Islam, negara Islam dan baharulah
Dunia Islam. Perlu ditegaskan bahawa penggunaan kekuatan senjata
sebelum aqidah, tarbiyyah dan penyatuan umat Islam akan membawa kepada
perpecahan umat Islam dan kemudharatan yang besar. Sesungguhnya,
pembinaan yang membesar secara tabii (Kaedah Sulbah) itu bermula dari
dasar (individu) dan bukan dari puncak (negara).

7) Jemaah ini hendaklah menjaga amalannya dari mencari propaganda dan
menunjuk-nunjuk, kerana ini boleh menghilangkan sifat keikhlasan dan
ganjaran pahala. Setiap anggota jemaah itu hendaklah mengutamakan
dirinya untuk terus berdakwah dan bekerja untuk Islam dan
menghindarkan dirinya dari sebarang sifat tercela (mazmumah),
perdebatan, prasangka, menabur fitnah dan 'tajassus' dan apa sahaja
yang boleh menimbulkan perselisihan dan kurang daya produktif dalam
berdakwah. Firman Allah swt, "Hai orang-orang yang beriman, janganlah
sesuatu kaum itu merendah-rendahkan kaum lain kerana mungkin kaum lain
itu adalah lebih baik... jauhilah prasangka... janganlah kamu
mencari-cari kesalahan atau mengunjing orang lain; sukakah kamu
memakan daging saudaramu yang telah mati? Hai manusia, Allah telah
mencipta kamu lelaki dan perempuan, bangsa-bangsa, suku-suku supaya
kamu saling berbaik. Sesungguhnya, orang yang paling mulia diantara
kamu disisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa diantara kamu"
(Surah Hujurat:11-13)

8) Jemaah ini bekerja mengikut perancangan yang sempurna dan
realistik. Segala tindakan yang diambil bukan lah secara spontan
ataupun hanya reaksi yang tidak dikaji terlebih dahulu kerana ini
boleh mengakibatkan risiko atau natijah yang buruk. Membangunkan
individu, keluarga, dan masyarakat dalam semua lapisan umat Islam
dilakukan atas dasar taqwa sebagai persediaan sebelum mendirikan
Negara Islam.

9) Jemaah ini mengambil berat tentang semua aspek pendidikan dan
pekerjaan yang dikehendaki, yakni aspek rohani, jasmani, mental, dan
ilmu. Dari segi politik, jemaah ini hendaklah melahirkan suara Islam
dengan jalan kesedaran politik, dan tidak semestinya dengan cara
berparti dan jauh sekali dari mengamalkan putar-belit ataupun kemelut
parti sekular. Dari segi komunikasi, jemaah ini mementingkan peranan
sebaran am, akhbar, penulisan serta apa jua cara yang dapat
menyebarkan kan dakwah serta menolak kekeliruan yang boleh timbul dari
fitnah musuh atau sesiapa sahaja.

10) Jemaah contoh ini jangan sekali-kali meninggi diri serta sentiasa
membuat perbandingan dengan jemaah-jemaah Islam yang lain dan tidak
menganggap jemaahnya sahaja yang sempurna dan benar, sementara jemaah
lain adalah sesat. Jangan memperkecil-kecilkan usaha jemaah-jemaah
lain atau melihat jemaah lain sebagai saingan atau lawan, tetapi
sebaliknya carilah ruang-ruang untuk bekerja sama. Hendaklah dia
sentiasa berusaha kearah penyatuan (wahdatul ummah) dengan
jemaah-jemaah lain dan sentiasa bersabar, berlapang dada dan menerima
segala kritikan dengan baik. Dengan izin Allah swt, kita semua
mengharapkan akan tiba masanya, hilanglah semua nama-nama, gelaran dan
perbezaan teknikal antara semua jemaah yang ada sekarang dan akan
digantikan dengan satu Jemaah Muslimun.

11) Jemaah ini hendaklah bercampur-gaul dengan semua orang dari
segenap lapisan tidak kira bangsa, warna kulit, bahasa ataupun
pangkat, demi mematuhi konsep alamiyyah yang disarankan. Mereka adalah
ladang dakwah dan tapak semaian yang perlu disediakan terlebih dahulu
sebelum mendirikan Negara Islam.

12) Jemaah ini mempunyai peraturan yang kemas serta organisasi
(tanzim) yang tersusun, yang menentukan tujuan kerja dan cara-cara
berdakwah. Anggota jemaah adalah terdiri daripada mereka yang telah
dididik (tarbiyyah) sepenuhnya, membentuk barisan-barisan yang
terpilih dan berkeperibadian Islam, dan tidak dicampuri anasir-anasir
yang tidak sihat, demi menjamin penerusan serta mesej dakwah yang
dibawanya.

13) Konsep syura hendaklah diamalkan dalam setiap peringkat dan
menggalakkan ahlinya supaya terus berbincang dan mengeluarkan pendapat
serta kritikan yang membina kepada orang-orang yang memegang
tanggungjawab tertentu atau pimpinan. (muhasabah) Konsep ketaatan dan
kepatuhan dalam perkara yang bukan maksiat sentiasa ditekankan

14) Jemaah ini sentiasa bersifat sederhana dan tidak melampau, samada
dalam aspek pemikiran seperti isu kafir-mangkafir dan isu perbezaan
jemaah-jemaah Islam; atau dalam aspek gerakan seperti menggunakan
kekerasan dalam tindakan, mengeluarkan kecaman-kecaman, dan fitnah
dengan sewenang-wenangnya, yang mana boleh membuatkan orang Islam lari
ataupun benci kepada Islam. Segala tindakan yang diambil hendaklah
berteraskan kasih sayang (mahabbah), waqii (persekitaran) semasa,
tawazun (keseimbangan), hazar (waspada) dan tasawwur (prospek) amal
yang jelas. Dari segi aqidah dan ibadah, jemaah ini tidak
bertolak-ansur sedikitpun..

15) Sentiasa memeriksa tanggungjawab serta mengikuti isu-isu semasa
yang dihadapi oleh umat Islam seluruh dunia dan sama-sama memberi
sumbangan sekadar mampu. Sentiasa menyeru orang-orang Islam agar sama-
sama memberi sumbangan bagi tujuan menghidupkan semangat perpaduan
serta sama-sama merasa tanggungjawab terhadap apa yang berlaku pada
umat Islam keseluruhannya.

16) Jemaah ini sentiasa berwaspada dengan tipu-helah musuh Islam,
sentiasa bersabar, tetap bekerja, berkorban dan banyak bermunajat
kepada Allah apabila menanggung penderitaan dan kecaman semasa
berdakwah.

17) Jemaah ini sentiasa menekankan kepentingan dakwah dan penegakan
Negara Islam Alamiyyah kepada anggotanya. Kegiatan dakwah yang
dilakukan adalah sebagai saham yang berharga kepada generasi akan
datang. Ganjaran daripada Allah akan datang kepada mereka yang beriman
dan bersabar, didunia ini dan juga diakhirat sebagaimana firman Allah
swt dalam surah AlHadiid: 28, "Hai orang yang beriman, bertaqwalah
kepada Allah dan berimanlah kepada RasulNya, nescaya Allah akan
memberi rahmatNya kepada kamu dua (2) bahagian, dan menjadikan untukmu
cahaya yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan, dan Allah akan
mengampunimu".

18) Jemaah ini sentiasa memikirkan langkah-langkah masa depan serta
bergerak (muharriq) untuk menyediakan kemahiran dalam berbagai bidang
seperti pendidikan, ekonomi, perundangan, dakwah, kesihatan,
ketenteraan, sosial dan lain-lain lagi.

19) Jemaah ini hendaklah mengambil kesempatan dalam setiap penerokaan
baru samada dalam bidang pemikiran, pengalaman-pengalaman dakwah,
ataupun kajian sains selagi ia tidak menyalahi prinsip Islam.

20) Jemaah ini sentiasa menketakutan yang dialami. Mereka ini akan terus beribadat 
kepada Allah dengan tidak mempersekutukanNya dengan apa sekalipun. Dan ingatlah,
sesiapa yang kufur atau engkar sesudah itu, maka mereka itulah
orang-orang yang derhaka".

Demikianlah penjelasan yang terperinci mengenai marhalah ini. Apa yang
baik itu sesungguhnya bersumberkan dari Allah swt, dan segala
kekurangan itu adalah merupakan kelemahan diri saya sendiri. Wasallam.

Akh-Hukum Fillah