Bismillah Walhamdulillah Was Salaatu Was Salaam 'ala Rasulillah.

Menjawab soalan mad'u (orang yang diseru): Jemaah manakah yang patut ia 
masuki untuk berusaha dan beramal untuk Islam? Marhalah (peringkat) ini 
adalah penting tetapi sensitif. Ia memerlukan hikmah (kebijaksanaan), 
penerangan yang jitu dan memuaskan. Di dalam bidang ini kedapatan 
berbagai-bagai jemaah yang bergerak. Masing-masing menyeru para pemuda 
memasukinya. Masing-masing membawa label Islam. Tiap-tiap jemaah 
mempunyai lambang-lambang dan cara-cara yang tersendiri untuk menarik 
para pemuda kepadanya.

Satu perkara yang perlu difahami oleh setiap pemuda muslim ialah bahawa 
urusan amal Islami adalah urusan yang menentukan dan asasi. Jadi dia 
mestilah pandai memilih jalan mana yang patut dilalui. Juga dapat 
memastikan tentang keselamatannya. Tidak perlu ia tergesa-gesa dalam 
memilih sesuatu jemaah untuk dimasukinya lantas bekerjasama dengannya di 
dalam melaksanakan prinsip-prinsip Islam. Dia mestilah sentiasa ingat 
bahawa ia hanya mempunyai satu umur dan satu jiwa. Jadi janganlah 
dipertaruhkan hidup yang hanya sekali itu kepada satu jemaah yang belum 
diyakini kebenarannya. Sebaliknya dia mestilah terlebih dahulu mengkaji 
dan menimbangnya dengan semasak-masaknya sehingga nyata kepadanya bahawa 
jemaah yang hendak dimasukinya itu adalah jemaah Islam yang benar. Itu 
lebih baik daripada memilih jalan lain yang tidak benar dan memasukinya 
tanpa selidik dan periksa terlebih dahulu.

Patutlah disebutkan di sini bahawa untuk merealisasikan segala tuntutan 
Islam hendaklah melalui jalan Rasulullah (s.a.w.). Sebelum baginda 
membangunkan Ad Daulah Al Islamiah yang pertama itu, baginda menekankan 
dan mementingkan persoalan sekitar penegakan akidah Islam di dalam jiwa 
mukminin. Kemudian mendidik mereka di rumah Al Arqam (Darul Arqam) 
dengan hidangan Al-Qur'an di Madrasah Rasulullah (s.a.w). Dari Madrasah 
itu, terbentuklah para lelaki akidah (rijalul akidah).

Akidah ini menguasai perasaan, pemikiran dan jiwa mereka malah menjadi 
asas di dalam kehidupan mereka. Mereka mengorbankan waktu mereka, usaha 
mereka, kesihatan mereka, fikiran, harta, malah nyawa mereka untuk 
akidah Islam. Mereka tetap berpegang teguh kepadanya dan rela menanggung 
segala gangguan dan penindasan. Mereka tidak pernah berundur, walaupun 
apa akan terjadi pada diri mereka. Mereka terus menyebarkan dakwah 
Islam, mempertahankan dan berjihad pada jalannya dengan harta dan jiwa 
mereka. Mereka itulah yang menjadi tiang dan teras yang kuat di dalam 
asas Ad Daulah Al Islamiah yang pertama. 

Kemudian Rasulullah (s.a.w) mempersaudarakan dan menyusun mereka. 
Rasulullah (s.a.w) mengikat janji dan sumpah setia dengan mereka untuk 
sama-sama membela agama ini dengan segala apa yang ada pada mereka. 
Akhirnya kemenangan dan kekuasaan di muka bumi berada di tangan mereka.

Demikianlah, Rasulullah (s.a.w) telah berjaya membuktikan bahawa 
kekuatan akidah datang dahulu, kemudian diikuti pula oleh kekuatan 
kesatuan, dan akhirnya kekuatan tangan dan senjata. Apabila dasar dan 
asas yang kuat dan pejal telah terbentuk, mereka mampu menghadapi 
musuh-musuh Allah (s.w.t) dan mampu pula membalas segala bentuk 
percerobohan dengan kekuatan.

Firman Allah Taala:

"Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi kerana 
sesungguhnya mereka telah dianiaya Dan sesungguhnya Allah (s.w.t) 
benar-benar berkuasa menolong mereka." (Al-Haj: 39)

Dalam proses pembentukan dasar dan asas yang kuat di kalangan mukmin 
yang masih sedikit bilangannya, Rasulullah (s.a.w) mewasiatkan mereka 
supaya bersabar menanggung segala penderitaan dan azab sengsara dan 
berpegang teguh kepada al Haq (kebenaran) yang telah mereka imani dan 
terus menerus menyampaikan dakwah kepada orang lain. Mereka tidak 
dituntut untuk menghadapi kebatilan dengan kekuatan (sama ada kekuatan 
tangan atau senjata).

Jadi jemaah yang mesti dipilih dan dimasuki oleh para pemuda Islam ialah 
jemaah yang berjalan di atas jalan Rasulullah (s.a.w). Mana-mana jemaah 
yang tidak mengutamakan sudut-sudut tarbiah (pendidikan) dan penyatuan 
tetapi mempergunakan kekuatan, maka itu adalah satu jemaah yang 
memperjudikan nasib dan usahanya. Ini membahayakan amal Islami (usaha 
dan perjuangan Islam). Jadi, segala usaha ke arah pemerintahan dengan 
jalan kekerasan atau kekuatan tanpa tarbiah dan perpaduan atau dengan 
jalan melalui parti-parti politik yang mengabaikan tarbiah, merupakan 
pertaruhan bahkan satu kerugian terhadap amal Islami. Walaupun ia 
berkembang dan membesar menurut tabi'i sebelum dasar dan asas menjadi 
kuat, namun ia tidak mantap dan tiada kesungguhan untuk berjalan terus 
menerus.

Jadi mestilah terlebih dahulu dibentuk dasar yang kuat dan pejal. Dengan 
demikian ia redha kepada hukum-hukum Islam, melindunginya, membelanya 
dan tidak berkompromi dengan hukum yang lain darinya. Demikianlah, 
pembinaan itu mestilah didahului dari asas bukan dari puncak. Apabila 
sesuatu bangunan yang hendak dibina itu besar dan tinggi, maka asasnya 
mestilah luas dan dalam pula. Samalah keadaannya dengan bangunan yang 
hendak kita bangunkan ini adalah bangunan yang paling besar dan paling 
tinggi iaitu 'Ad Daulah Islamiah Alamiah' (negara Islam sejagat) kerana 
dakwah kita adalah alamiah (antarabangsa) demikian juga musuh-musuh kita 
adalah alamiah juga. Jangka masa yang digunakan di dalam medan ini 
diukur dengan umur dakwah bukan diukur dengan umur individu.

Dengan rahmat kurnia Allah (s.w.t), kita dapati Al Imam Hassan Al Banna 
telah mengambil jalan ini dari seerah Rasulullah (s.a.w). Beliau 
menegaskan betapa perlunya dipersiapkan al fardi muslim (individu 
muslim) sebagai lelaki akidah (rijalul akidah), pentingnya didirikan 
keluarga muslim (usrah muslimah) dan akhirnya masyarakat muslim (mujtama 
muslim). Di atas asas-asas yang kuat inilah, kelak terdirinya 
Ad-Daulah-Islamiah dan seterusnya Al-khilafah Islamiah, InsyaAllah.

[Utz Mustafa Masyhur]