Bismillah Walhamdulillah Was Salaatu Was Salaam 'ala Rasulillah.

Perlu juga dijelaskan kepada bahawa jemaah yang bakal dimasuki dan 
berjuang dengannya, mestilah merupakan satu jemaah yang menganut Islam 
dengan segala kesyumulan (sempurna dan menyeluruh). Mengambil Islam 
sebagai akidah, ibadah, akhlak, undang-undang, perlembagaan, siasah dan 
jihad. Malah mencukupi semua aspek kehidupan. Apabila sesuatu jemaah 
hanya mementingkan beberapa sudut kehidupan sahaja dan mencuaikan 
beberapa sudut yang lain kerana lebih mengutamakan kemudahan dan 
keselamatan atau dengan alasan yang lain, maka jemaah itu bukanlah satu 
jemaah yang sempurna.

Jemaah Islam yang diharapkan untuk melaksanakan kewajipan yang besar ini 
patutlah meluaskan segala usahanya ke serata dunia. Dengan ini dia dapat 
menyediakan dasar dan asas yang lebar dan luas untuk Ad Daulah Islamiah 
Alamiah, bukan hanya terbatas kepada satu tempat atau negeri yang 
tertentu sahaja. Jemaah yang telah mempunyai pengalaman dan mengalami 
berbagai cubaan itulah merupakan jemaah yang boleh dipercayai. 
Diharapkan ia akan dapat melaksanakan tanggungjawab (masuliah) yang 
terbesar dan mulia ini dan dapat merealisasikan segala tujuan perjuangan 
Islam. Membawa buah dan hasil seberapa segera dan mempergunakan waktu 
dan usaha dengan sebaik-baiknya. Kefahamannya, pemikirannya, harakahnya 
jauh dari kecuaian dan keterlaluan, jauh dari penyelewengan dan 
pengambilan juzi'ah (mengambil bahagian dan meninggalkan sebahagian). Ia 
terus berjalan menurut jejak dan petunjuk Rasulullah (s.a.w) dan para 
salafussaleh.

Jemaah ini juga mestilah jemaah yang teratur rapi (munazamah) di dalam 
satu ikatan yang teguh dan perpaduan yang utuh. Segala perancangan 
adalah penuh perincian dan telah diputuskan oleh jemaah. Bukanlah ia 
merupakan jemaah yang porak peranda, bertindak seperti bidan terjun 
(irtijal), tanpa perincian yang rapi, tanpa disiplin dan tanpa syura.

Patutlah disebutkan di sini beberapa kesalahan dan bahayanya perpecahan. 
Perpecahan itu membahagi-bahagikan usaha-usaha kepada berbagai jemaah 
yang kecil-kecil. Pada asalnya, setiap orang yang ingin bekerja untuk 
Islam hendaklah menyatu padukan segala suara dan usaha di dalam satu 
jemaah. Jemaah ini pula telah memenuhi ciri-ciri yang telah disebutkan 
tadi. Jadi tidaklah boleh ia mengibarkan bendera baru atau bernaung di 
bawah jemaah yang baru, untuk mencuba-cuba atau mencari pengalaman yang 
baru. Tindakan begini hanya akan memecah belahkan segala usaha untuk 
Islam. Jadi, tidaklah harus baginya memisahkan dirinya dari satu jemaah 
yang besar yang telah mempunyai semua ciri-ciri tersebut serta mempunyai 
berbagai pengalaman (tajribah) kecuali jika didapati di dalamnya 
kefasikan atau kesesatan (dholalah) keseluruhannya.

Dengan penjelasan mengenai marhalah ini, diharapkan setiap individu yang 
benar dan ikhlas dapat memahami dan akan mendapati bahawa ciri-ciri 
jemaah yang dipilih itu telah ada pada jemaah Ikhwanul Muslimin dengan 
kurnia dari Allah (s.w.t) dan taufikNya.

[Utz Mustafa Masyhur]