Bismillah Walhamdulillah Was Salaatu Was Salaam 'ala Rasulillah.

Seorang individu tidak mampu untuk membangunkan Ad Daulah AL Islamiah 
apa lagi untuk membangunkan kembali Al-Khilafah Islamiah. Jemaah adalah 
satu kemestian demi menyatu-padukan segala usaha fardi (individu). 
Jemaah Islam yang seperti itulah yang akan berusaha secara jama'i 
(secara organisasi) untuk merealisasikan kewajipan yang besar ini. 
Menurut kaedah Islam yang terkenal:

"Bahawa sesuatu yang tidak sempurna kewajipan melainkan dengan dia, maka 
dia juga menjadi wajib."

Jadi selagi kewajipan membangunkan Ad-Daulah Islamiah belum sempurna, 
maka menubuhkan jamaah Islamiah adalah wajib. Tidak dapat dibayangkan, 
bagaimana seorang individu, yang mengaku telah sempurna Islamnya boleh 
hidup bersendirian. Dia tidak berusaha di dalam jemaah untuk 
melaksanakan prinsip-prinsip Islam dan segala kewajipan yang terpenting 
yang mesti dilaksanakan oleh semua umat Islam. Bagaimanakah ia akan 
berusaha dalam suasana sekarang ini untuk membangunkan 
Ad-Daulah-Islamiah dalam keadaannya yang bersendirian itu.

Ini adalah masalah pokok. Kebanyakan dari kalangan muslimin tidak 
merasakan betapa perlunya dibangunkan Ad Daulah Al Islamiah. Juga tidak 
merasakan betapa perlunya menubuhkan satu jemaah Islamiah. Mereka merasa 
tidak perlu menggabungkan diri mereka di dalam jemaah Islam kerana takut 
untuk memikul berbagai-bagai bebanan. Mereka lebih mengutamakan afiah 
dan kesenangan serta keselesaan. Mereka tidak mahu diganggu oleh 
musuh-musuh Islam yang mungkin menggugat mereka jika mereka memasuki 
jemaah Islamiah. Kita telah pun menerangkan serba sedikit tentang betapa 
besarnya tanggungjawab yang mesti dipikul oleh setiap muslim terhadap 
Islam. Tanggungjawab yang besar itu tidak akan terlaksana tanpa jamaah, 
walaupun dengan berjemaah itu bermakna bertambah besar beban yang 
dipikulnya. Pun begitu kita sepatutnya tidak lupa pula menjelaskan 
kepadanya betapa besar pahala dan faedah yang akan lahir dari 
usaha-usaha demikian.

[Utz Mustafa Masyhur]