JIHAD ITULAH JALAN... (part 1) 

PENDAHULUAN

Sesungguhnya jihad adalah jalan yang sebenar. Inilah dia perkara yang 
mesti kita berikan perhatian yang secukupnya. Kita mesti berjalan dan 
bekerja atas dasar jihad. Kelemahan iman telahpun meletakkan umat Islam 
sekarang ke lembah kehinaan, perpecahan dan penguasaan musuh Allah, 
bahkan setengah dari mereka pula telah ditimpa fitnah agama. Kesedaran 
semula iman dalam hati adalah merupakan titik tolak asas kepada 
kebangkitan. Ia juga menjadi titik tolak asas kepada kebangkitan hidup 
umat Islam. Dengan itu dapatlah umat Islam menyiapkan kekuatan, 
membebaskan diri dan seterusnya meletakkan diri mereka ke tempat yang 
telahpun dipilih oleh Allah, iaitu sebagai umat terbaik yang diutus di 
kalangan manusia, juga sebagai ustaz kepada seluruh manusia bagi 
menerangkan agama yang benar ini. Semoga dengan itu dapatlah mereka 
mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya.

Di samping kekuatan iman dan akidah, mestilah juga ada kekuatan kesatuan 
dan ikatan persaudaraan sesama umat Islam bagi menggembeling tenaga. 
Setelah itu barulah pula kekuatan tenaga dan senjata digunakan bila 
tidak ada jalan lain lagi. Inilah dia peranan jihad. Sebenarnya Imam 
Hassan al-Banna telah pun melihat kepentingan tiga jenis kekuatan 
tersebut serta tertib susunannya daripada Sirah Rasulullah Sallalahu 
alaihi wasallam, dan harakah dakwah baginda semasa menegakkan daulah 
Islamiah yang pertama.

Banyak persoalan telah pun dibangkitkan di sana sini berhubung dengan 
sikap Ikhwanul Muslimin terhadap jihad, baik dari kalangan umum mahupun 
individu tertentu:

Persoalan telahpun ditimbulkan oleh orang-orang yang benar-benar jahil 
mengenai Islam, begitu juga oleh orang-orang yang menjual diri dan harta 
mereka kerana Allah, orang-orang yang jiwanya dibunuh oleh perasaan 
rendah diri dan kecewa, juga dari orang-orang yang jiwanya benar-benar 
merindui syahid fi sabilillah.

Kita mendengar orang mengatakan:

"Adakah kamu mahu berjihad untuk memaksa orang bukan Islam supaya 
memeluk Islam dengan menggunakan kekuatan senjata?"

Ada orang yang mengatakan:

"Adakah kamu mahu berjihad menentang musuh-musuh Allah di Timur dan 
Barat yang mempunyai kekuatan besar, sedangkan kamu adalah lemah, tidak 
memiliki apa-apa pun?"

Ada juga orang yang mengatakan:

"Adakah kamu mahu berjihad dengan mencampakkan pemuda-pemuda Islam ke 
kancah kebinasaan serta menyerahkan mereka untuk dimakan puas oleh 
musuh-musuh Allah?"
 
Sebaliknya pula kita mendengar setengah-setengah pemuda yang bersemangat 
mengatakan:

"Adakah Ikhwanul Muslimun sudah serik menghadapi mehnah, lalu mereka 
meletakkan senjata dan meninggalkan jihad?"

Ada yang mengatakan:

"Sikap negatif kamu ini akan melemahkan semangat pemuda-pemuda dan 
mematikan roh jihad mereka. Adakah kamu mahu begitu?"

Ada juga yang tertanya-tanya:

"Sampai bilakah kamu rasa cukup dengan berdakwah dan tarbiyah sahaja 
tanpa berjihad, sedangkan musuh-musuh Allah sentiasa mengawasi kamu. 
Mereka sentiasa menyerang kamu. Sebaliknya pula kamu menghadapi serangan 
mereka dengan menyerah sahaja tanpa sebarang penentangan?"

Semua persoalan ini dibangkitkan di sekitar Ikhwanul Muslimin serta 
sikap mereka terhadap jihad. Kadang-kadang kami tidak memberikan apa-apa 
jawapan pada setengah orang yang mengemukakan persoalan itu. Kami 
berdiam sahaja dengan persoalan yang ditimbulkan oleh orang-orang yang 
jahil dan bersemangat. Namun begitu kami merasakan perlu untuk 
memberikan penjelasan kepada mereka mengenai beberapa perkara, agar kita 
semua jelas. Semoga dengan itu kesatuan faham dan kesungguhan dapat 
terbentuk dengan izin Allah.

JIHAD ITULAH JALAN... oleh Utz Mustafa Masyhur.