JIHAD ITULAH JALAN... (part 2) 

TABIAT AGAMA ISLAM INI. DAKWAH.. DAN HARAKAH.. JIHAD MENJADI 
KEMUNCAKNYA.

Sebelum membentang dan menjawab persoalan ini perlulah diingatkan 
mengenai beberapa petunjuk dasar serta permasalahan yang penting. Semoga 
dengan itu kita dapat melihatnya dengan betul serta tidak lari dari 
garisan sempadannya.

Tabiat agama ini, tuntutannya terhadap kaum Muslimin, peranan jihad dan 
kedudukannya dalam Islam, semuanya adalah merupakan perkara yang mesti 
jelas dan tidak ada sebarang kekaburan.

Sesungguhnya Islam bukannya seperti agama gereja dan paderi, di mana 
seseorang itu mengabdikan diri kepada tuhannya dengan cara perhubungan 
antara dia dengan tuhan sahaja, ia tidak ada kena mengena dengan orang 
lain, dan orang lain tidak ada kena mengena dengannya. Tetapi sebaliknya 
Islam adalah merupakan agama yang sempurna, yang mengatur hal ehwal 
kehidupan manusia, sama seperti ia menjaga hal ehwal akhirat. Ia 
mengatur hal ehwal umat Islam, baik dari segi perekonomian, 
kemasyarakatan, politik, perundangan dan lain-lain lagi. Ia adalah 
merupakan agama akidah, syariat dan ibadah yang mencakupi setiap perkara 
baik yang kecil ataupun besar, yang berkaitan dengan manusia. Ia 
mencakupi perkara yang bersangkut dengan peribadi, kehidupan dunia, 
dengan Muslim lain dan bukan muslim. Bahkan juga yang berkaitan dengan 
masa depannya yang terakhir di akhirat kelak.

Begitu juga, ia adalah merupakan agama umat yang satu, jemaah yang satu, 
kiblat yang satu, dan juga kitab yang satu. Ia menjadikan hubungan 
sesama umat Islam laksana satu jasad, bila satu bahagian tubuh sahaja 
yang merasa sakit maka seluruh badan akan sama-sama merasa derita dan 
terpaksa berjaga malam.

Rasulullah Sallallabu alaihi wasallam bersabda:

" Sesiapa yang tidak memperdulikan urusan kaum Muslimin maka ia bukan 
dari kalangan mereka."

Sesungguhnya Islam mewajibkan penganutnya melaksanakan syariatnya dan 
berhakimkan al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah Sallallabu alaihi wasallam 
dalam perkara-perkara yang berlaku sesama mereka. Ia mewajibkan 
pengikutnya menyampaikan seruan agama yang benar ini kepada seluruh 
manusia. Sesungguhnya Islam adalah merupakan agama yang melakukan 
revolusi terhadap jahiliah dan segala yang ada di dalamnya, iaitu ibadah 
kepada yang lain dari Allah, ataupun adat serta kepercayaan karut yang 
tidak diredhai oleh Allah.

Bagi agama yang sebegini, tergambarkah kepada kita bahawa penganutnya 
dapat menegak dan melaksanakan tuntutannya tanpa mereka menghadapi 
serangan dan tentangan daripada orang yang mempunyai akidah yang ingin 
dirubah itu? Mereka tentunya akan cuba menghalang penganut Islam dari 
menegakkan Islam dan mengukuhkan kedudukannya di bumi ini. Adakah 
penganut Islam akan berhenti dari meneruskan kerja ini semata-mata 
kerana menghadapi serangan musuh-musuh Allah? Bila mereka bersabar 
menghadapi dan terus berada di jalan mereka, maka bukankah kesabaran dan 
kesanggupan menanggungnya itu ada batasnya? Bukankah mereka berhak 
membalas serangan tersebut dan membuang semua rintangan yang ada di 
jalan mereka?

Di sini jihad menjadi keperluan yang mesti. Sebab itulah Islam 
menganggapnya sebagai perkara fardu yang tetap akan berterusan hingga ke 
hari kiamat. Islam juga menggalakkan serta menggesa pengikutnya supaya 
berjihad, dan ia menjadikan jihad sebagai kemuncak amal. Tanpa jihad 
Islam tidak akan dapat tegak dengan betul, ahli-ahli batil akan 
berkuasa, agama Allah tidak akan dapat berjalan, kehidupan akan rosak 
dan berjalan secara tidak dikehendaki oleh Allah. Patutkah ini berlaku 
pada hak Allah? Tentunya tidak.

Di sini kami akan menjelaskan sebahagian dari perkara-perkara yang 
berkaitan dengan jihad dalam Islam. Kemudian dengan izin Allah kami akan 
membentangkan penjelasan sikap Ikhwanul Muslimin terhadap jihad dan 
persoalan-persoalan lalu yang dihadapinya.

Islam amat menitikberatkan masalah jihad, ketenteraan dan keberangkatan 
umat ke medan jihad. Ia mengumpulkan umat semuanya menjadi satu barisan 
(saf) bagi mempertahankan kebenaran dengan segala kekuatan yang ada. Ia 
menjadikan jihad sebagai perkara fardu yang dimestikan pada setiap 
Muslim. Tidak ada jalan untuk melepaskan diri dan lari daripada jihad. 
Islam benar-benar memberi perangsang ke arah jihad. Ia memberikan 
balasan pahala yang besar kepada para mujahidin dan syuhadak. Sebalikaya 
pula Islam mengancam mereka yang ketinggalan dan tidak mahu berjihad 
dengan siksaan-siksaan yang amat teruk. Seterusnya ia meletakkan mereka 
yang tidak berjihad dengan sifat-sifat yang amat keji. Islam menganggap 
tidak menyertai jihad dan lari dari medan perang itu sebagai melakukan 
salah satu dari dosa yang amat besar. Ia adalah salah satu dari tujuh 
perkara yang menjadi dosa besar dan membinasakan.

Mungkin ada baiknya kita merujuk pada Risalah Jihad yang ditulis oleh 
Imam Hassan al-Banna. Beliau telahpun mengumpulkan dalam risalah 
tersebut ayat-ayat Al Qur'an yang berkaitan dengan jihad, perang dan 
syahid. Begitu juga dengan hadis-hadis Nabi mengenai jihad, yang mana 
kita rasakan ia menjadi bekalan yang cukup.

JIHAD ITULAH JALAN... oleh Utz Mustafa Masyhur.