JIHAD ITULAH JALAN... (part 3) 

KATA-KATA IMAM HASSAN AL BANNA.

Berhubung dengan hukum berjihad dalam Islam, Imam Hassan al-Banna 
mengatakan dalam Risalah Jihadnya:

Ahli-ahli ilmuan yang terdiri dari mujtahidin, muqallidin, salaf dah 
khalaf telah sepakat (ijmak) mengatakan, bahawa jihad itu adalah fardu 
kifayah kepada umat Islam untuk mengembangkan dakwah. Jihad adalah fardu 
ain untuk menangkis serangan orang-orang kafir terhadap umat Islam.

Seterusaya al-Imam mengatakan:

Seperti yang saudara maklum, umat Islam masa kini telah diperhinakan 
oleh orang lain. Mereka telah dikuasai oleh orang-orang kafir. Tanah air 
mereka telah ditakluki. Kehormatan-kehormatan mereka telah dicerobohi. 
Hal ehwal mereka telah dikuasai oleh musuh mereka. Syiar-syiar agama 
mereka yang ada di tanah air mereka sendiri telahpun rosak, ditambah 
pula dengan kelemahan mereka menyebarkan dakwah. Jadi adalah fardu ain 
berjihad dan setiap Muslim tidak boleh melepaskan diri darinya. Ia mesti 
bersiap sedia dan berniat untuk berjihad. Ia juga mestilah menyediakan 
kelengkapan untuk berjihad dan menunggu hingga masanya tiba dan Allah 
melaksanakan perkara yang telah ditentukannya, iaitu kemenangan kaum 
Mukminin.

Dalam tajuk yang lain di Risalah Jihad, Imam Hassan menyebutkan mengenai 
satu atsar yang diriwayatkan, iaitu:

"Kita telah kembali daripada jihad kecil bagi menuju ke jihad yang 
besar. Mereka mengatakan: Apakah dia jihad yang besar itu. Katanya: 
Jihad hati ataupun jihad nafsu."

Imam al-Banna mengatakan, atsar itu sebenarnya bukanlah hadis. Kata 
orang ia adalah kata-kata Ibrahim bin Abalah.

Di bawah tajuk "mengapa seorang Muslim itu berperang", yang disebut 
dalam risalah yang sama, Imam alBanna mengatakan: Allah memfardukan 
jihad pada kaum Muslimin bukannya sebagai alat untuk membangkitkan 
permusuhan. Ia juga bukanlah sebagai wasilah untuk memenuhi keinginan 
peribadi. Sebaliknya ia bertujuan untuk menjaga dakwah, menjamin 
kesejahteraan dan menunaikan risalah besar yang dipertanggungjawabkan 
kepada umat Islam, iaitu risalah membimbing manusia ke jalan kebenaran 
dan keadilan. Sesungguhnya Islam sebagaimana ia memfardukan berperang, 
ia juga mengarah supaya berdamai.

Firman Allah Taala yg bermaksud:

"Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya 
dan bertawakkal kepada Allah." (Surah Al-Anfal: Ayat 61)

Berhubung dengan belas kasihan dalam jihad Islami pula, Imam Hassan 
al-Banna mengatakan: Kerana matlamat jihad Islami adalah terlalu mulia 
maka begitu jugalah dengan wasilahnya. Wasilahnya adalah yang terbaik 
sekali. Allah telah mengharamkan permusuhan. Ia membimbing umat Islam ke 
arah nilai belas kasihan yang paling tinggi. Semasa berperang mereka 
tidak boleh melampaui batas, tidak boleh bersikap jahat, tidak boleh 
mencincang mayat, tidak boleh mencuri, tidak boleh merampas harta, tidak 
boleh mencabul kehormatan dan melakukan kekejaman. Semasa berperang 
mereka adalah ahli perang yang terbaik. Kesedaran mereka sama
dengan waktu aman, di mana mereka adalah pendamai yang terbaik. Begitu 
juga ada hadis yang melarang daripada membunuh wanita, kanak-kanak, 
orang tua, membunuh yang luka, mengganggu rahib dan yang memencilkan 
diri. Sesiapa yang tidak memerangi tentera Islam adalah diberikan 
keamanan. Belas kasihan yang sebegini manalah ada pada serangan-serangan 
orang yang bertamadun kini. Serangan mereka amatlah kejam dan zalim.

Bandingkanlah kedudukan undang-undang antarabangsa mereka dengan 
keadilan rabbani yang syumul ini?

Selanjutnya Imam al-Banna berdoa dengan mengatakan: 

"Ya Allah, fahamkanlah umat Islam tentang agama mereka dan selamatkanlah 
dunia daripada kegelapan ini dengan menyinarkan cahaya Islam."

JIHAD ITULAH JALAN... oleh Utz Mustafa Masyhur.