JIHAD ITULAH JALAN... (part 4) 

SIKAP IKHWANUL MUSLIMIN TERHADAP JIHAD.

Di tahun-tahun kebelakangan ini jihad fi sabilillah telah mula menjadi 
wajib di bumi-bumi Islam. Realitinya telah dapat dirasakan di sebahagian 
dunia Islam. Di sebahagian yang lain pula, semangat bersedia untuk 
berjihad dan kesedaran tentang kemestiannya telah mula meresap. 
Sesungguhnya jihad adalah satu-satunya jalan untuk membalas serangan 
musuh-musuh Allah dan membebaskan bumi Islam daripada serangan dan tipu 
muslihat mereka. Di sana telah timbul kesedaran bahawa cara berunding 
dan persetujuan damai dengan musuh Allah tanpa berjihad adalah merupakan 
penyerahan di bawah nama berdamai.

Berikutnya, di sana ada kewajipan yang difardukan pada setiap Muslim 
yang mana ia tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa berjihad dan bersiap 
sedia untuknya. Bukankah kewajipan itu ialah menegakkan Daulah Islamiah, 
Khilafah Islamiah dan memberikan kekuasaan kepada agama ini?

"Supaya jangan ada fitnah dan supaya agama itu semata-mata bagi Allah." 
(Surah Al-Anfal: Ayat 39)

Kami telah pun menjelaskan mengenai tabiat agama Islam ini serta 
kedudukan jihad fi sabilillah dalam Islam. Di sini insyaAllah kami 
jelaskan pula mengenai sikap Ikhwanul Muslimin terhadap jihad baik pada 
masa lalu, masa kini dan masa akan datang. Semoga dengan itu kita akan 
dapat menghilangkan segala keraguan yang timbul berkaitan dengan tajuk 
ini, juga mengenai persoalan-persoalan yang telah dibangkitkan, ataupun 
sebarang keraguan lain mengenainya. Juga diharapkan agar pemuda-pemuda 
kita yang menjadi mujahid dapat melihat jalan ini. Dengan itu mereka 
tidak akan meninggalkannya dan tidak terpengaruh dengan kata-kata yang 
ingin melemah dan menimbulkan keraguan.

CARA UNTUK MENGEMBALIKAN SEMULA SISTEM KHILAFAH AR-RASYIDIN IAITU DENGAN 
IMAN DAN AMAL MUHIBAH SERTA UKHUWAH.. DAN JUGA BERSEDIA DAN BERJIHAD.

Di saat-saat Jemaah Ikhwan al-Muslimin akan bangkit dan selepas 
kejatuhan terus khilafah Islamiah, Imam Hassan al-Banna telah pun 
memerhatikan keadaan sekitarnya. Semasa itu beliau masih lagi seorang 
penuntut di kuliah Darul Ulum. Beliau telah mengkaji keadaan dunia Islam 
dan perkara yang berkaitan dengan umat Islam dengan pengkajian yang 
mendalam dan teliti. Beliau tahu bahawa perkara yang menyebabkan 
musuh-musuh Allah dapat menguasai mereka, menjatuhkan mereka dari negara 
Islam, Khilafah Islamiah dan seterusnya menyerang umat Islam di sudut 
pemikiran, ekonomi dan politik ialah berpunca daripada jauhnya mereka 
daripada pati sebenar agama mereka dan juga kelemahan iman mereka. 
Dengan itu musuh-musuh Islam berharap dapat menghapuskan akidah yang ada 
dalam diri mereka sebagaimana mereka telah berjaya menghapuskan tabiat 
yang menggambarkan sistem Khilafah Islam.

Al-Banna dapat merasakan betapa besarnya bahaya yang dihadapi oleh kaum 
Muslimin dan betapa pentingnya menangkis bahaya itu. Bahkan adalah 
menjadi kewajipan yang difardukan Islam pada setiap Muslimin dan 
Muslimat untuk bekerja mengembalikan semula sistem Khilafah Islamiah dan 
menegakkan semula daulah Islamiah atas dasar yang kukuh dan kuat. Ini 
bertujuan untuk menjaga akidah mereka dan melaksanakan syariat Islam di 
kalangan umat Islam. Itulah dia cara untuk membebaskan umat Islam dan 
mengawal mereka daripada sebarang serangan musuh, serta membolehkan 
mereka mengembangkan dakwah Islam ke seluruh dunia, dan seterusnya 
memberikan kekuasaan pada agama yang maha besar yang diredhai Allah pada 
hambanya.

Setelah memikirkan dengan mendalam dan memohon pertolongan Allah, maka 
Imam Hassan al-Banna pun diberikan taufik oleh Allah. Beliau dapati 
satu-satunya jalan untuk melaksanakan kewajipan besar ini ialah dengan 
mengikuti jalan yang telah dilalui oleh Rasulullah Sallallahu alaihi 
wasallam dan para sahabatnya dahulu, iaitu semasa mereka menegakkan 
Negara Islam yang pertama. Dengan ringkasnya bolehlah disimpulkan 
sebagai keimanan, amal, muhibah, ukhuwah, persiapan dan jihad. 
Begitulah, Rasulullah Sallallahu-alaihi wasallam mentarbiyahkan kaum 
Muslimin dengan santapan Al-Qur'an dan di madrasah Rasulullah Sallallahu 
alaihi wasallam. Baginda telah mempersaudarakan sesama mereka, menyusun 
dan menggesa mereka supaya berjihad dan berkorban. Mereka layak mendapat 
pertolongan dan sokongan dari Allah. Dengan mereka, Semenanjung Tanah 
Arab dibersihkan daripada syirik dan berhala. Dengan mereka juga negara 
Parsi dapat dibuka, negara Rom dikalahkan, orang-orang Yahudi diusir, 
kegelapan (kesesatan) dihapuskan dan cahaya menerangi seluruhnya.

Imam al-Banna mengetahui semua itu, beliau lalu menubuhkan jamaah 
Ikhwanul Muslimin dan menggerakkannya menurut jalan yang sama seperti 
Rasulullah. Beliau berpendapat, untuk membentuk tarbiyah atas asas yang 
kukuh dan menegakkan daulah Islamiah atas dasar yang selamat mestilah 
mengembalikan umat Islam kepada Islam yang sebenar, syumul dan bersih 
sebagaimana yang telah dibawa oleh Rasulullah Sallallahu alaihi 
wasallam. Islam tersebut adalah jauh daripada penyelewengan, kesalahan, 
serpihan-serpihan, kekaburan, bid'ah, khurafat dan punca perselisihan.

Al-Banna meletakkan usul dua puluh yang ada dalam Risalah Taklim di 
bawah rukun faham yang menjadi salah satu dari rukun bai'ah yang sepuluh 
itu sebagai satu lingkungan yang menjaga kefahaman Islam yang sebenar. 
Begitu juga, beliau sedar mengenai peranan jihad dalam perjalanan dakwah 
dan pentingnya bersiap sedia untuk berjihad. Sebabnya mestilah ada satu 
kekuatan yang memelihara kebenaran daripada dicerobohi.

Beliau dapat merasakan bahawa pada masa itu, roh jihad yang ada pada 
kalangan umat Islam hampir-hampir padam. Sebaliknya pula semangat untuk 
tunduk dan menyerah telah menguasai perasaan mereka.


JIHAD ITULAH JALAN... oleh Utz Mustafa Masyhur.