Kalimah yang baik
     
Di antara arahan-arahan Rasulullah s.a.w. ialah sabda-sabda Rasulullah 
s.a.w. berikut:
      
"Dan kalimah yang baik itu sedekah." [Riwayat Bukhari]
     
"Siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat hendaklah beliau 
mengatakan yang baik atau dia diam (sahaja)." [Hadis Muttafaq]
      
"Sesungguhnya hamba itu akan berkata-kata dengan perkataan yang beliau 
(sendiri) tidak jelas. Kerana perkataan itu beliau tergelincir ke dalam 
neraka yang lebih jauh (jaraknya dari jarak) antara timur dengan barat." 
[Hadis Muttafaq]
      
"Seorang itu akan berkata dengan perkataan yang diredhai Allah, beliau 
tidak menyangka bahawa kalimah-kalimah itu akan sampai kepada apa yang 
telah dicapainya. Allah menulis keredhaan baginya kerana kalimah-kalimah 
itu hinggalah pada hari beliau menemui Allah. Dan seorang itu akan 
berkata dengan perkataan yang dimurkai Allah. Beliau tidak menyangka 
bahawa kalimah-kalimah itu akan sampai kepada apa yang telah dicapainya. 
Allah menuliskan kemurkaan baginya kerana kalimah-kalimah itu hingga 
pada hari beliau menemui Allah." [Riwayat Malik dan Tarmizi]
     
Kiranya Rasulullah s.a.w. itu dianggap sebagai qudwah hasanah kepada 
semua manusia, maka para duatlah orang yang paling utama mengikut 
Rasulullah s.a.w. dari orang lain. Oleh itu para duat Islam hendaklah 
melihat bagaimanakah keadaan Baginda Rasulullah s.a.w.
     
Al-Kharaithi dan al-Hakim telah meriwayatkan dari 'Amurah, bahawa 
'Amurah berkata: Aku bertanya kepada Aisyah radiallahu-anha bagaimanakah 
keadaan Rasulullah s.a.w. apabila beliau bersendirian dengan para 
isterinya? Aisyah berkata: "Dia seperti lelaki lain (juga) cuma dia 
adalah seorang yang paling pemurah dan paling lembut bila senyum dan 
ketawa." Begitu disebutkan dalam al-Kanz, juzuk 4 halaman 47.
     
Al-Bazzar meriwayatkan dari Jabir radiallahu-anhu, Jabir berkata: 
"Apabila Rasulullah s.a.w didatangi wahyu atau peringatan, saya pun 
berkata: "Pemberi amaran kepada kaum, mereka didatangi oleh azab." 
Apabila keadaan itu hilang, saya lihat (Rasulullah s.a.w.) adalah orang 
yang paling manis mukanya, paling banyak tertawa dan paling baik 
manusia." 
     
At-Tabarani pula berkata: "Rasulullah s.a.w. adalah orang yang paling 
banyak tertawa dan paling baik hati."

[Konsep Penguasaan Dalam Kehidupan Dakwah dan Pendakwah - Utz. Fathi 
Yakan]