Saya membesar dalam keadaan yang menjadikan saya menjauhi Khilaf, tidak 
sukakan perpecahan dan bencikan pertelingkahan. Saya telah belajar dan 
dididik pada mulanya di kampung saya di tangan Syeikh saya, seorang 
ulama' yang mantap iaitu Fadhilah al-Syeikh Abdul Razaq Afifi. 
     
Sewaktu saya belum melewati usia sepuluh tahun, Syeikh telah mengajar 
kami untuk menghimpunkan manusia dan tidak memecah-belahkan serta 
menyatukan bukannya mengoyakkan. Hendaklah mendekatkan semampu yang 
boleh sewaktu berlakunya khilaf tanpa menjejaskan ushul aqidah dan 
perkara yang diketahui secara darurat daripada agama. 
     
Pernah berlaku pertemuan mereka yang mempunyai haluan Islam iaitu Jamaah 
Anshor al-Sunnah al-Muhammadiyah, al-Jam'iyyah al-Syar'ieyah dan 
al-Ikhwan al-Muslimun. Semuanya menyertai aktiviti sesama mereka. Setiap 
mereka mengambil faedah daripada kelebihan yang lain. Mereka mengambil 
aqidah daripada jamaah Anshor al-Sunnah, perlakuan berdasarkan Sunnah 
dan gambaran Islam daripada al-Jam'iyyah al-Syar'ieyah dan mengambil 
tentang kesyumulan Islam dan pemikiran tamadunnya daripada al-Ikhwan 
al-Muslimun. Oleh itu saya - sehingga kini - terus menyumbangkan wang 
untuk membantu jemaah-jemaah ini, saling membantu mereka dan saya juga 
dijemput untuk menyampaikan ceramah untuk mereka.
     
Saya masih ingat sikap-sikap Syeikh kami dalam hal ini di antaranya:
     
Pertama:  Beliau telah membentuk dari kalangan anak-anak yang masih 
kecil - saya salah seorang daripada mereka - menjadi satu kumpulan yang 
kami kongsi kutipan wang padanya untuk membentuk sebuah perpustakaan 
sebagai tempat membaca. Beliau dokonginya - semoga Allah membalas 
kebaikan beliau - dengan pemberian beliau. Beliau memilih untuk kami apa 
yang beliau sukai dan pilih daripada buku-buku aqidah, risalah-risalah 
Syeikhul Islam Ibn Taimiyah dan muridnya Ibn al-Qayyim, al-Imam Muhammad 
bin Abdul Wahab, buku-buku Sunnah dan risalah-risalah al-Imam as-Syahid 
Hasan al-Banna.
     
Kedua: Seseorang telah bertanyakan beliau dalam satu majlis tentang 
pandangannya terhadap perkumpulan besar yang dizahirkan oleh hasil 
aktiviti al-Ikhwan al-Muslimun dan sambutan para pemuda terhadap dakwah 
mereka. Soalan itu ditujukan dalam bentuk yang menyakitkan hati, 
mengajak kepada kebencian dan dikiaskan dengan cemuhan. Lantas Syeikh 
kami menjawab dengan kata-katanya:
     
"Wahai anakku, sesungguhnya saya berasa takjub melihat berkumpulnya 
burung pada satu bangkai yang busuk, maka bagaimakah ketakjuban kita 
melihat berkumpulnya manusia pada Islam?"
     
Ketiga: Kami pernah bermusafir dari kampung Syansur menuju ke Kaherah. 
Bersama kami ada beberapa orang pemuda. Kami menuju ke pejabat Anshor 
al-Sunnah di 'Abidin. Kami mendapati Fadhilah al-Syeikh Hamid al-Fiqi - 
Ketua Jemaah Anshor al-Sunnah pada waktu itu - sedang menyampaikan 
ceramahnya. Kami duduk mendengar kepadanya. Beliau menghamburkan 
serangan keras terhadap al-Ustaz Hasan al-Banna, Mursyidul 'Am al-Ikhwan 
al-Muslimun kerana beliau tidak mementingkan aqidah. Golongan pemuda 
membenci serangan yang mereka tidak biasa mereka dengar ini dan mereka 
duduk dalam majlis itu seolah-olah mereka sedang duduk di atas bara api. 
Apabila ceramah itu selesai, kami bangun dan bersalam dengan Syeikh 
Hamid dalam keadaan berdiri. Fadhilah al-Syeikh Abdul Razaq berkata 
kepada al-Syeikh Hamid:
     
"Sesungguhnya manusia sedang menjauhi Islam sejauh-jauhnya. Biarkanlah 
Hasan al-Banna dengan dakwah umumnya kepada mereka sehingga dia dapat 
mengarahkan mereka kepada Islam. Apabila mereka telah menuju kepada 
Islam maka bolehlah kamu mengajar aqidah dan syariah kepada mereka 
mengikut kehendak kamu."
     
Lantas perasaan para pemuda tenang dengan kata-kata ini.
     
Sekiranya jemaah-jemaah Islam ini bertemu pada satu matlamat iaitu 
berhukumkan syariat Islam dalam seluruh sudut kehidupan, sesungguhnya 
permusuhan yang wujud antara mereka dan antara mereka yang ada dalam 
satu jemaah akan menghabiskan tenaga mereka dalam pertentangan dalaman 
dan menghalang tercapainya matlamat bersama. Inilah penyakit kronik yang 
memecahkan kekuatan Islam dan menghalang terlaksananya syariah yang 
mulia.
     
[HALANGAN-HALANGAN PELAKSANAAN SYARIAH ISLAM oleh Prof. Manna' Khalil 
al-Qaththan; Maktabah al-Qardhawi 1998]