Bismillah Walhamdulillah Was Salaatu Was Salaam 'ala Rasulillah. Adakah menghukum orang lain itu wajib bagi tiap-tiap Muslim? Telah diketahui bahawa syari'at Islam telah memberi taklif, menuntut kita supaya kita menyeru manusia kepada Allah, menyuruh berbuat baik dan melarang dari berbuat kemungkaran. Tiap-tiap seorang dari kita akan disoal di hadapan Allah: sudahkah kamu menyeru ahli mu, jiranmu, kenalanmu dan semua orang yang berhubung dengan kamu kepada Allah; untuk melaksanakan kitab Allah dan sunnah Rasulullah s.a.w ataupun tidak? Kamu tidak akan disoal: Sudahkah kamu menghukum ke atas si pulan atau tidak? Kenapa kamu tidak menghukum di atasnya? Kerana itu tidak termasuk di dalam taklif syar'iah. Yang menjadi tugas kamu dan diberi pahala jika kamu melaksanakannya adalah tugas da'wah, menyeru manusia kepada Allah dan kamu akan diazab apabila kamu mencuaikannya. Kamu tidak akan disiksa jika kamu tidak menghukum, tetapi sebaliknya jika kamu melakukannya, kamu akan terdedah kepada azab yang sangat keras apabila kamu tersalah memberi hukuman. Daulah Islamiahlah yang mendirikan dan mendaulatkan syari'at Allah. Dialah yang bertanggungjawab menentukan hal ehwal individu-individu di dalam aqidahuya, sama ada dia kafir atau muslim. Setiap orang dari mereka mempunyai cara muamalahnya. Bermuamalah dengan muslim tidak sama dengan bermuamalah dengan zimmi dan bermuamalah dengan zimmi tidak sama dengan murtad dan demikian seterusnya. Menentukan hukum kepada mereka bukanlah urusan perseorangan, tetapi itu adalah urusan pemerintah Islam. Tetapi kadangkala di satu ketika seorang individu itu perlu mengetahui keadaan seseorang tertentu tatkala ia ingin membuat sebarang perhubungan dengannya, umpamanya dalam hal nikah kahwin, atau urusan perniagaan atau lain. Boleh jadi orang itu komunis (mulhid) ataupun atheist ataupun murtad jadi dalam hal ini jika kamu merasa ragu-ragu tentang dirinya, cukuplah dengan menghentikan sahaja niat kamu, janganlah pula menjatuhkan hukuman ke atasnya. Penyelewengan di jalan dakwah mendatangkan akibat-akibat yang merbahaya kepada dakwah dan pendukung-pendukungnya. Kita tambahkan lagi di sini, bahawa penyelewengan fikrah adalah lebih merbahaya dari penyelewengan harakiah, kerana di dalam fikrah yang sahih dan benar akan melahirkan harakah yang sahih dan dari situ dapat dibetulkan segala penyelewengan dan kesalahan harakiah. Jadi fikrah yang sihat melahirkan harakah yang sihat. Tetapi kalau fikrah telah menyeleweng, segala tindakan-tindakan harakah yang timbul daripadanya tidak akan membawa kebaikan, malah membahayakan lagi sia-sia. Oleh itu kita dapati di dalam tahap permulaan dakwah Islamiah, Rasulullah s.a.w telah menyempurnakan peneguhan dan pemantapan aqidah dan konsep yang sihat sejahtera lagi terang dan nyata tentang Islam dan risalahnya. Turunnya wahyu satu ayat demi satu ayat dan surah memantapkan dan mengukuhkan dasarnya, menerangkan memperbetulkan dan menyampaikannya, dan Rasulullah s.a.w sendiri menerangkan, menjelaskan dan bertindak dengan amalan yang benar dan sempurna dan menghapuskan segala penyelewengan amalan. [Ustaz Mustafa Masyhur] ------------------------------------------------------------------ "Ustaz Mustafa Masyhur, seorang tokoh yang dihasilkan oleh mujaddid zaman kini Al Imam Hassan Al Banna, Rahimahullah, saya tidaklah mempunyai tujuan memuji secara melulu, kerana apa yang dibuktikan oleh Ustaz Mustafa di dalam perjuangannya di luar penjara dan di dalam penjara, di dalam negeri dan di dalam buangan, ke arah menegakkan Islam di bumi Allah (s.w.t) ini, walaupun begitu beliau masih teguh dengan perjuangan Islam ini. Segala-galanya cukuplah menjadi alasan betapa perlunya kita mempelajari dari ilmu dan pengalaman beliau. Saya tidaklah berkemampuan untuk menyatakan lebih dari itu, kerana ketika kami selalu mengadakan pertemuan untuk sama-sama menjalankan kerja Islam dan memahaminya dalam keadaan mengelakkan diri dari menjadi mangsa penjenayah terhadap Islam, tetapi beliau telah berdepan terus dengan penjenayah-penjenayah dan mengalami ujian penyeksaan yang mentarbiahkannya dan beliau telah pun membuktikan kejayaannya, moga-moga dengan berkat pandangan dan tulisan ikhlas dari beliau menambahkan ilmu dan keyakinan kita kepada Islam yang menjadi tajuk kepada semua amal kita." [Utz Haji Abdul Hadi Bin Haji Awang]