Bismillah Walhamdulillah Was Salaatu Was Salaam 'ala Rasulillah.

Meragui Jalan Dan Meragu-Ragukan Orang-Orang Yang Berjalan Di Atas Jalan 
Dakwah:

Adanya puak-puak yang menaburkan benih-benih keraguan dan debu-debu syak 
wasangka di sekitar jalan dakwah untuk mengabui mata petunjuk-petunjuk 
dakwah Islam di sepanjang jalan dakwah bukanlah satu perkara asing. 
Tujuan mereka hanyalah semata-mata hendak memadamkan hidayah Islam dari 
manusia, supaya manusia yang berminat melalui jalan dakwah Islam 
berpaling daripadanya. Untuk itu, mereka melemparkan pelbagai tuduhan 
palsu dan jahat terhadap para pendukung dakwah Islam dan melemparkan 
tuduhan-tuduhan melulu. 

Ada yang sanggup berkata: Para pendukung dakwah Islam itu mabuk kuasa, 
mabuk dunia, bertopengkan agama, memperalat agama, memperkuda agama dan 
berbagai-bagai lagi tuduhan busuk dari lidah yang tidak bertulang dari 
pemeluk jahiliah dari luar atau dari dalam. 

Di samping itu ada pula suara-suara sumbang yang mengatakan bahawa 
mereka, para pendukung dakwah Islam hanyalah berusaha di bidang 
perguruan, pendidikan, dan memberi nasihat kepada manusia dan tidak 
pernah memikirkan pemerintahan. Oleh itu mereka tidak akan dapat 
melahirkan satu cita-cita dan mencapai satu tujuan. 

Lebih dari itu ada lagi pihak yang melemparkan tuduhan yang lebih jahat 
dan tergamak berkata: "Sesungguhnya mereka ini, para pendukung dakwah 
Islam, pengganggu keamanan, hendak menumpahkan darah". 

Di pihak yang lain pula ada yang menuduh lalu berkata: "Para pendukung 
dakwah Islam, telah penat, dan menjadi bacul, meninggalkan jihad, telah 
lesu dan mengampu pihak berkuasa." 

Tidak ketinggalan juga ada yang menuduh dan berkata: "Para pendukung 
dakwah Islam telah menyeleweng dari jalan dakwah Islam. Mereka telah 
bertukar bulu, menukar pendirian mereka, mereka telah herubah." 

Ada lagi yang berkata: "Sahib-ud-dakwah Islam itu beku, mempunyai 
fahaman sempit dan tidak mampu menyesuaikan harakah mereka dengan zaman 
moden ini." 

Ada lagi yang berkata: "Para du'at Islam itu menutup pintu di hadapannya 
dan membantah kerja-kerja Islam." 

Ada pula yang berkata: "Mereka itu tidak mementingkan urusan aqidah 
Islam. Ia hanya sibuk dengan urusan fikrah dan harakah sahaja." 

Ada juga yang menuduh: "Bahawa sahib-ud-dakwah itu tidak beriltizam 
dengan manhaj ahli sunnah dan as-Salaf-us-Saleh dan condong kepada 
fahaman khilafiah orang muta'akhirin di zaman muta'akhirin", dan 
macam-macam lagi uslub dan cara yang meragukan manusia. 

Ini sengaja ditaburkan oleh pihak-pihak yang tertentu dengan tujuan yang 
tertentu, sama ada dengan niat baik atau tujuan jahat. Tetapi semuanya 
dibuat untuk memalingkan manusia yang berminat kepada usaha-usaha untuk 
Islam dari jalan yang benar dan hendak memecahbelahkan usaha-usaha untuk 
Islam dan memperkotak-katikkannya.

Islam menuntut dari para pemeluknya supaya mereka meneliti, mengkaji, 
menyelidik dan meneropong segala perkara supaya mereka tidak mudah 
tertipu, tidak mudah hanyut dan tidak mudah menjatuhkan hukuman. Muslim 
yang sejati, yang dedikasi, yang telah memasang niat dan berazam benar 
untuk bekerja dan berusaha untuk Islam, tidak akan terpengaruh oleh 
mana-mana puak pemesong, penyelewengan yang hendak memalingkannya dari 
jalan yang benar. Tidak akan dapat di abui mata mereka oleh 
berbagai-bagai tuduhan atau jerangkap samar atau pujuk rayu. Dia 
mestilah sentiasa berwaspada, dan sentiasa meneropong segala perkara 
untuk mengenali segala perkara, untuk mengenali hakikat yang tersembunyi 
di sebalik mazhar yang lahir:

"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa 
suatu berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan 
suatu musibah kepada satu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang 
menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu." (Al-Hujurat: 6)

Tiap orang yang mencari keterangan, yang meneropong dan memeriksa, 
lambat laun akan mengetahui dengan limpah kurnia Allah tentang kepalsuan 
segala tuduhan jahat yang batil itu. Mereka akan mengetahui tentang 
keaslian jalan kita yang benar itu tanpa penukaran dan tanpa 
penyelewengan. Malah mereka akan mendapat kekuatan, kemantapan, 
ketahanan, kesungguhan dan keteguhan serta jauh dari kelemahan, 
kebaculan dan kelesuan. Dia akan mendapat hikmah, kebijaksanaan dan 
kebaikan pentadbiran dan tidak membabi buta, tidak hentam keromo, tidak 
mudah melatah. Dia akan mendapat perencanaan yang selamat, bukan beku 
dan lapuk.

Muslim sejati yang menggabungkan dirinya dengan jamaah Islam tidak akan 
mendapati pintu yang tertutup terus menerus atau terbuka terus menerus. 
Sebaliknya dia akan mendapati akidah yang sejati, manhaj 
as-salafus-salih, ahli sunnah-wal-jamaah, berpegang dengan kitab Allah 
dan sunnah Rasulullah s.a.w. 

Tidak mudah merasa ta'asub dan degil di atas satu-satu kesalahan, tidak 
menolak nasihat dari juru nasihat yang jujur dan amanah atau 
kritik-kritik yang membina. Tidak pula menonjol-nonjolkan dirinya di 
jurusan dakwah kita dan tidak mendewa-dewakan (hero worship) sesiapa 
pun. Dia akan mendapati syura dan tolong-menolong dan persaudaraan 
kerana Allah. Dia akan mendapati hati yang pengasih dan tangan yang 
penyayang, akal yang terbuka dan minat yang benar di dalam tolong 
menolong ke arah kebaikan dan takwa. Ini adalah untuk memadukan segala 
usaha dan kemudiannya kita bersatu menjadi padu di atas jalan dakwah.

Barangsiapa merasai di dalam dirinya satu keraguan, syak wasangka atau 
tekanan atau kebimbangan, hendaklah berhubung dengan kita dari dekat 
supaya mengenali kita dan harakah Islam kita. Ini perlu supaya dia tidak 
mensia-siakan dirinya di dalam daerah prasangka, supaya dia tidak 
terjerumus di dalam limpur dosa dan longkang noda dan menghampakan 
dirinya dari kebaikan yang banyak.

Wahai para kekasih, hai Muslimin yang tercinta! Sebenarnya ini bukanlah 
dakwah seseorang atau jamaah orang-orang yang tertentu, akan tetapi 
sebenarnya inilah dakwah tiap-tiap Muslim, inilah Islam dan dakwah Islam 
di abad keempatbelas dan kelimabelas hijrah zaman ini sebagaimana yang 
dikatakan oleh Al-lmam Hassan Al-Banna. Barangsiapa yang bersegera dan 
bekerjasama dengan kita di dalam dakwah Islam itu dia mendapat kebaikan 
dan yang lebih baik. Siapa yang bimbang dan ragu, kita mohon kepada 
Allah supaya Dia menghapuskan keraguan dan kebimbangannya. Barangsiapa 
bermalas-malas dan suka duduk berpangku tangan menjadi penonton maka dia 
telah berbuat salah dan menganiaya dirinya dan benarlah Allah di dalam 
FirmanNya:

"Dan barangsiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu adalah 
untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (tidak 
memerlukan sesuatu) dari semesta alam." (Al-Ankabut: 6)

"Dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan mengganti kamu dengan kaum 
yang lain, dan mereka tidak akan seperti kamu" (Muhammad: 38)

Lantaran itu, hai Muslimin seluruhnya, gabungkanlah dirimu dengan 
angkatan dakwah Islam itu dan janganlah membuang waktu dengan sia-sia 
kerana masa itu adalah kehidupan, kewajipan lebih banyak dari masa.

[Utz Mustafa Masyhur]