Bismillah Walhamdulillah Was Salaatu Was Salaam 'ala Rasulillah. Sesungguhnya musuh-musuh Allah (s.w.t.) telah membuat tipu daya terhadap dakwah ini. Mereka bersatu padu membuat pakatan untuk membinasakan generasi-generasi yang baharu muncul. Mereka menangkap, memenjarakan, menyiksa dan membunuh para pendukung dakwah. Musuh-musuh Allah (s.w.t) ini juga merampas segala buku-buku, majalah dan risalah yang berkaitan dengan jamaah (Ikhwanul Muslimin) ini . Mereka lemparkan berbagai-bagai tuduhan palsu terhadap jamaah ini dengan tujuan memutuskan hubungan antara generasi-generasi muda dengan Harakah Islamiah ini. Supaya generasi baru itu menjadi sesat dan hilang pedoman di tengah-tengah kemelut arus dan berbagai aliran mazhab keduniaan lantas tidak mengenali jalan kepada Allah (s.w.t). Di satu sudut lain pula, mereka bercita-cita untuk mengeringkan sumber-sumber bekalan kepada Harakah Islamiah ini. Mereka mahukan supaya Harakah Islam ini ketandusan anggota-anggota baru dan darah darah baru yang diperlukan untuk meneruskan perjuangannya. Mereka sangka bahawa dengan berlalunya generasi kami ini akan terhentilah bersamanya harakah Islam. Tidak lagi dapat diperbaharui dan diteruskan perjuangannya kerana jauhnya para pemuda daripadanya dan kerana kejahilan mereka tentang harakah Islam yang lalu. Mereka membuat tipu daya dan Allah (s.w.t) membalas tipu daya mereka dan Allah (s.w.t) itu sebaik pembalas para penipu daya itu. Sesungguhnya Allah (s.w.t) telah menghancurkan putar belit dan tipu daya mereka. Mereka tidak berdaya menahan cahaya Allah (s.w.t) untuk sampai kepada generasi hari ini lalu menyinari dan menunjuki mereka kepada jalan dakwah. Para pemuda muslimin berlumba-lumba mengadap kepada dakwah Islam dengan penuh kesedaran, sikap yang benar, dan ikhlas, disertai dengan langkah-langkah yang tetap dan tegas di dalam jalan dakwah. Mereka tidak gentar dan tidak lari lantaran apa yang telah didengar, dibaca atau dilihat oleh mereka berkenaan dengan gangguan dan tindasan yang menimpa saudara-saudara mereka yang telah lalu dijalan dakwah sebelum mereka. Para pendukung dakwah sebelum mereka telah diganggu dan disakiti di jalan dakwah. Allah (s.w.t) mengurniakan kesabaran kepada mereka, memberi ketahanan dan ketetapan kepada mereka dan mengambil dari mereka beberapa banyak syuhada' akan tetapi mereka tidak lembut (kompromi) menghadapi musuh-musuh Allah (s.w.t), mereka tidak cuai, tidak merubah-rubah dan tidak menukar-nukar. Kita merasa cukup gembira melihat bunga yang sedang mekar itu (generasi muda). Kita menghargai, memuliakan dan menyintai mereka sungguh-sungguh dan kita bertanggungjawab terhadap mereka. Kita wajib mengemukakan pengalaman-pengalaman kita supaya mereka bermula di mana kita telah sampai, supaya sempurnalah percantuman di antara dua generasi. Generasi yang telah tua dan generasi yang baharu muncul. Kelak diharapkan mereka mewarisi amanah ini dengan segenap kesyumulan, kemurniannya dan iltizam dengan kitab Allah (s.w.t) serta sunnah Rasulullah (s.a.w) juga sunnah as Salafus Salih (r.a). [Tariqud Dakwah - Utz Mustafa Masyhur]