Pembubaran al-Ikhwan

Kegiatan dan kejayaan yang dicapai al-Ikhwan al-Muslimin telah tidak 
disenangi oleh kerajaan dan pihak British. Negara barat mendesak 
kerajaan Mesir supaya membubarkan Jemaah al-Ikhwan al-Muslimin. Pasukan 
tentera al-Ikhwan yang berperang di Palestin telah menunjukkan 
keberanian dan komitmen yang luar biasa. Justeru itu sebagai satu helah 
politik musuh, pada bulan November 1948, gencatan senjata telah diadakan 
Palestin. Pada 8 November 1948, Perdana Menteri Mesir mengistiharkan 
pembubaran al-Ikhwan. Unit-unit tentera Mesir dan tentera al-Ikhwan yang 
berjuang di Palestin itu dipanggil balik. Berbagai-bagai tuduhan dan 
fitnah dilemparkan ke atas al-lkhwan. Anggota-anggota al-Ikhwan 
ditangkap, dimasukkan ke dalam penjara dan mereka diseksa dengan teruk, 
malah ada yang dibunuh. Tindakan tersebut telah melumpuhkan sama sekali 
kegiatan al-lkhwan.
     
Pembunuhan Imam Hasan al-Banna
     
Dengan alasan untuk mengendurkan ketegangan antara al-Ikhwan dan 
kerajaan, pihak kerajaan menjemput Hasan al-Banna untuk berunding 
bertempat di pejabat Jam'iyyah al-Syubban al-Muslimin. Sebenarnya 
jemputan itu hanyalah sebagai helah untuk membunuh Hasan al-Banna.
      
Pada 12 Februari 1949 jam 5 petang, Hasan al-Banna bersama iparnya Abdul 
Karim Mansur, seorang peguam, suami kepada adik perempuannya berada di 
pejabat tersebut. Mereka menunggu Menteri Zaki Ali Basya yang dikatakan 
mewakili kerajaan untuk berunding, tetapi dia tak kunjung tiba. Akhirnya 
setelah selesai menunaikan solat Isya' mereka memanggil teksi untuk 
pulang. Ketika baru sahaja menaiki teksi yang dipanggil, dua orang 
matagelap menerpa ke arah teksi dan salah seorang daripada mereka terus 
melepaskan tembakan pistol dan kedua-dua mereka terkena tembakan itu. 
Iparya itu tidak dapat bergerak akibat terkena tembakan tersebut. Hasan 
alBanna walaupun terkena tujuh tembakan , beliau masih mampu berjalan 
masuk semula ke pejabat Jam'iyyah alSyubban al-Muslimin memanggil 
ambulans untuk membawa mereka ke hospital. Sampai di hospital Qasral 
'Aini, mereka dikawal rapi oleh Jeneral Muhammad al-Jazzar dan tidak 
membenarkan sebarang rawatan diberikan kepada Hasan al-Banna. Pada pukul 
12.50 tengah malam, Hasan al-Banna menghembuskan nafas yang terakhir 
akibat tumpahan darah yang banyak. Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un. 
Muga-muga Allah mencucuri rahmat-Nya ke atas roh as-Syahid, Amin....
     
Pengurusan Jenazah
     
Pada pukul satu pagi pihak polis menyampaikan berita kematian kepada 
ayah Hasan al-Banna dengan dua pilihan: pihak polis akan menghantarkan 
jenazah ke rumahnya untuk beliau menjalankan urusan pengkebumian pada 
jam sembilan pagi tanpa sebarang perhimpunan. Jika tidak menerima 
tawaran pertama itu, pihak polis sendiri terpaksa membawa jenazah dari 
hospital ke kubur tanpa beliau melihat jenazah anaknya itu.
     
Ayah Hasan al-Banna menerima pilihan yang pertama. Sebelum fajar 
menyinsing, jenazah as-Syahid dibawa ke rumahnya di Hilmiah al-Jadid 
dengan sebuah kereta yang dikawal rapi oleh polis yang lengkap 
bersenjata. Di sekitar rumahnya juga terdapat polis dan tentera berkawal 
dengan rapi. Mereka tidak membenarkan sesiapa pun menghampiri kawasan 
tersebut. Jenazah as-Syahid dibawa masuk ke rumahnya secara tidak ada 
orang yang melihatnya dan tidak ada yang mengetahui masa ketibaannya.
     
Sheikh Ahmad Abdur Rahman, ayah Hasan al-Banna yang sudah berusia lebih 
90 tahun itu dengan penuh kesabaran memandi dan mengkafanikan jenazah 
anaknya yang baru berusia 43 tahun itu seorang diri. Setelah diletakkan 
ke atas pengusung, beliau memohon pihak polis mencari beberapa orang 
untuk mengusungnya. Tetapi pihak polis menjawab, biarkanlah orang-orang 
perempuan tolong mengusungnya. Polis tidak membenarkan sesiapa datang ke 
rumah tersebut untuk mengucapkan takziah dan tidak dibenarkan membaca 
al-Qur'an. Ayah Hasan al-Banna tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Beliau 
dengan tiga orang perempuan terpaksa mengusung anaknya itu menuju ke 
Masjid al-Qaisun untuk disembahyangkan. Pihak polis lebih dahulu telah 
pergi ke masjid memerintah orang-orang yang ada di situ supaya 
meninggalkan masjid. Sheikh Ahmad seorang diri menunaikan solat jenazah 
ke atas anaknya itu. Kemudian mereka meneruskan pengusungannya menuju ke 
perkuburan untuk disemadikan jenazah as-Syahid.
     
Pembunuhan Hasan al-Banna adalah satu perancangan pihak istana dengan 
arahan Raja Farouk dan Perdana Menterinya Ibrahim Abdul Hadi. Sebab 
itulah tidak ada sebarang tindakan ke atas penjenayah dan orang yang 
terlibat. Kes pembunuhan ini walaupun telah dibawa ke mahkamah beberapa 
kali, tetapi telah ditangguhkan. Pertama kali dibawa pada masa 
pemerintahan Perdana Menteri Ibrahim Abdul Hadi. Kedua, pada masa 
pemerintahan Perdana Menteri Husin Sari. Ketiga, pada zaman pemerintahan 
Perdana Menteri Mustafa al-Nahhas Basya.
     
Pada 23 Julai 1952 satu revolusi telah tercetus. Raja Farouk terpaksa 
turun dari singgahsananya. Berikutan itu, kes ini dibuka semula. 
Penjenayah ditangkap dan pada 2 Ogos 1954, mahkamah menjatuhkan hukuman 
seperti berikut:
     
*  Koperal Ahmad Husin Jad dikenakan hukuman penjara seumur hidup dengan 
kerja berat.
*  Pemandu kereta, Sarjan-Major Muhammad Mahfuz Muhammad dikenakan 
hukuman penjara 15 tahun dengan kerja berat.
*  Major Muhammad al-Jazzar dikenakan hukuman satu tahun penjara dengan 
kerja berat.
     
Kemudian setelah hubungan antara Jamal Abdul Nasir dengan al-Ikhwan 
al-Muslimin semakin bertambah buruk, semua anggota perisik yang tersebut 
telah dibebaskan oleh Jamal Abdul Nasir sebelum habis tempoh hukuman 
yang dikenakan. Bertahun-tahun lamanya orang-orang al-Ikhwan al-Muslimin 
tertanya-tanya, manakah hukuman yang dikenakan ke atas orang-orang yang 
bersalah itu?
     
Secara umumnya jelas kepada kita Hasan al-Banna merupakan seorang 
pejuang yang gigih dan berani, berjaya menyedarkan masyarakat dengan 
fikrah dan pendekatan barunya dalam gerakan dakwah dan manhaj tarbiahnya 
yang syumul. Walaupun beliau telah pergi menemui Ilahi, namun fikiran 
dan gerak kerjanya masih menjadi rujukan dan pegangan pejuang-pejuang 
dan harakah Islamiah hari ini.  Memandangkan ajaran dan arahan yang 
dikemukakannya itu mempunyai nilai yang tinggi dan signifikannya yang 
tersendiri, maka dicadangkan, cita-cita perjuangan al-Ikhwan al-Muslimin 
dan arahan-arahan Mursyid Amnya itu kita jadikan pegangan dan panduan 
hidup kita, muga-muga kita akan mencapai kemenangan dan keredaan Allah 
sebagaimana yang ditegaskan oleh Hasan al-Banna sendiri katanya: 
     
 "Saya penuh yakin, jika anda mengamalkannya dan menjadikannya sebagai 
cita-cita hidup dan matlamat terakhir diri anda, balasannya ialah 
ketinggian di dunia, kebajikan dan keredaan Allah di akhirat. Justeru 
itu anda termasuk golongan kami, dan kami merupakan golongan anda. 
Tetapi jika anda melepas tangan dan berpeluk tubuh tidak menjalankan 
gerak kerjanya, terputuslah hubungan antara kami dan anda walaupun anda 
mengadakan berbagai majlis ceramah dan menyandang setinggi-tinggi 
gelaran dan menampilkan sebesar-besar kehebatan kepada kami. Nantilah 
Allah akan mengira dengan seberat-beratnya terhadap sikap anda tidak 
menjalankan gerak kerja ini. Oleh itu terserahlah kepada anda yang 
memilih sendiri, kami tetap berdoa untuk kami dan anda juga, muga-muga 
mendapat hidayat dan taufikNya." (Majmu'ah al-Rasa'il:3l) 
 
Wabillahi taufiq was salamu'alaikum warahmatullah.