PERSELISIHAN FIQH (PART 2)

Sepatutnya orang-orang yg berselisih tentang perkara yg berkaitan dengan 
fiqh megetahui bahawa setiap orang yg berusaha dengan bersungguh-sungguh 
untuk mengetahui hukum Allah SWT diberi balasan pahala sama ada salah 
atau betul. Mengapakah seharusnya mereka 
saling bertengkaran dan berbantahan. Sabda Rasulullah saw yg bermaksud:

"Apabila seseorang hakim itu berhukum lalu berijtihad dan ijtihadnya 
betul maka dia  akan mendapat dua pahala, dan apabila dia berhukum lalu 
berijtihad dan ijtihadnya salah  maka dia akan mendapat satu pahala." 
[Muslim:3/1343 no:1716]


Perbincangan di bawah naungan kasih sayang.

Seterusnya Imam Asy Syahid menegaskan pula bahawa tidak ada halangan 
untuk dilakukan perbincangan tentang perkara-perkara cabang bagi 
mengetahui dalil-dalil yg kuat dan lemah, dengan syarat perbincangan 
tersebut hendaklah bersih dan berjalan di bawah naungan ukhuwah dan 
kasih sayang kerana Allah SWT. Uslub inilah yg sebenarnya dapat 
menyampaikan kepada  kebenaran tanpa berlaku kerugian. Ini merupakan 
sistem yg telah dipraktikkan oleh para salafus soleh dari kalangan 
sahabat dan tabi'in.

Sheikhul Islam  berkata: "Sesungguhnya ulama' dikalangan sahabat dan 
tabi'in serta  orang-orang yg selepas daripada mereka, apabila 
berselisih faham dalam sesuatu perkara, mereka  akan mengikut arahan 
Allah di dalam firmanNya:

"Apabila kamu berselisih faham dalam sesuatu perkara maka kembalikanlah 
ia kepada Allah dan RasulNya, jika kamu beriman dengan Allah dan Hari 
Akhirat. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik 
akibatnya." [An Nisa':59]

Mereka berbincang dalam menyelesaikan masalah dengan perbincangan yg 
berbentuk musyuwarah dan nasihat menasihati. Mungkin mereka berselisih 
dari sudut kata-kata dalam masalah-masalah yg ilmiah dan praktikal, 
sedangkan kejinakan hati-hati, keteguhan dan persaudaraan dalam agama 
tetap kekal seperti biasa. [Al Fatawa:24/1721]

[Pandangan semula kepada Risalah Ta'alim]