Bismillah Walhamdulillah Was Salaatu Was Salaam 'ala Rasulillah.

Beberapa Petunjuk Di Atas Jalan:

Al Imam Hasan alBanna rahmatullah telah menjelaskan di dalam 
tulisan-tulisannya, di dalam risalah-risalah dan di dalam 
ceramah-ceramahnya beberapa petunjuk jalan dan menguatkan di atasnya dan 
perlunya kita iltizam dengannya tanpa menyalahinya. Dia menerangkan 
bahawa itulah jalan Rasulullah s.a.w, jalan para sahabat (r.a) dan jalan 
as salafus salih yang diredhai Allah s.w.t. Dia bersungguh-sungguh 
menjauhkannya dari ta'asub mazhab atau dari penyelewengan fikrah yang 
menyebabkan timbulnya perpecahan yang boleh menggugat persatuan Muslim 
dan menjadikan mereka berpuak-puak dan bergolong-golongan. Beliau 
menegaskan penuh kejelasan bahawa kitab Allah dan sunnah Rasulullah 
s.a.w itu merupakan dua sumber pengambilan kita, mataair kita dan 
kepadanya kita merujuk di dalam segala urusan kita.

Dia telah menyuruh kita berjaga-jaga dan berwaspada dari takfir, 
kafir-mengkafirkan, berpuluh-puluh tahun sebelum munculnya pemikiran 
seperti ini. Penekanannya adalah serupa juga supaya kita berwaspada dari 
penyelewengan harakiah seperti terburu-buru untuk memetik buah sebelum 
masaknya. Beliau menerangkan bagaimana bahayanya sikap yang demikian, 
juga dia telah menerangkan bahawa jalan ini adalah susah dan panjang 
akan tetapi di sana tidak ada jalan lain daripada itu, dan memerlukan 
kesabaran dan mujahadah - berjuang melawan hawa nafsu - di samping kita 
memperdalam kefahaman, pembentukan yang rapi dan amal yang berterusan.

Al Imam Asy Syahid itu juga telah menegaskan bagaimana perlunya kita 
beriltizam di atas manhaj tarbiah dan mempersiapkan individu Muslim 
sebagai pendukung aqidah dan menjauhi cara-cara parti politik - (yang 
bukan Islam) - tetapi menumpukan segala tenaga untuk beramal dan 
menjauhi pertengkaran dan bantah membantah yang membuang masa dan 
mematikan kesungguhan dan kadang-kadang menyakitkan hati. Beliau 
sentiasa berpesan kepada kita tentang ukhuwwah supaya memperkuatkan 
ikatan dan cinta kerana Allah dan pada Allah.

Dia mendorong para petugas, para amilin di bidang dakwah lslam supaya 
mereka tolong-menolong dan menyelaraskan segala usaha untuk dakwah 
Islam. Perbezaan pendapat di dalam perkara furu'iah tidak boleh 
dijadikan sebagai penghalang untuk tolong menolong selagi kita bersatu 
di dalam urusan pokok dan dasar. Alhamdulillah selama ini kita tetap 
bersikap demikian dalam dasar dan banyak masalah furu'iah.

Beliau sentiasa menegaskan bahawa jamaah al Ikhwan di atas jalan 
dakwahnya akan terdedah kepada berbagai-bagai ujian dan bencana, sepuluh 
tahun sebelum terjadinya ujian dan bencana itu. Yang demikian itu telah 
menjadi sunnah Allah di dalam dakwah - dan
beliau berkata: "Boleh jadi ujian itu lama untuk kamu maka adakah kamu 
bertahan?"

Dia juga menunggu dan menjangka bahawa pimpinan kemanusiaan yang 
dimainkan peranannya oleh Barat yang kebendaan itu, setelah tersasul dan 
terhoyong-hayang di dalam kebingungannya, akan kembali semula kepada 
Timur Islam, di tangan tentera iman yang kuat dan teguh sehingga tidak 
ada lagi fitnah dan ganggguan dan agama itu seluruhnya bagi Allah.

[Tariqud Dakwah - Utz Mustafa Masyhur]