Dalam risalah 'Antara Masa Lalu dan Masa Kini' dalam tajuk 
'Ranjau-Ranjau Di Perjalanan' Imam Hasan al-Banna telah mengatakan:
     
"Saya ingin terus terang menyatakan kepada kamu, bahawa hari ini dakwah 
kamu ini masih belum dikenali orang ramai. Apabila mereka mengetahui dan 
memahami matlamat dan tujuan dakwah ini kamu akan menerima permusuhan 
dan pertarungan yang sengit dari mereka. Kamu akan mendapati di hadapan 
kamu kesukaran-kesukaran dan kamu akan dihalangi oleh ranjau-ranjau. 
Hanya pada ketika itulah sahaja kamu baru mula mengikuti jalan para 
pendukung dakwah... adapun sekarang ini, kamu masih belum dikenali, kamu 
masih dalam peringkat membuat persediaan untuk dakwah dan bersedia untuk 
menghadapi perjuangan dan jihad yang dituntut oleh dakwah. Kejahilan 
umat tentang hakikat Islam akan tegak sebagai rintangan di pertengahan 
jalan, kamu akan mendapati ahli agama yang terdiri daripada ulamak rasmi 
akan memandang ganjil pemahaman kamu terhadap Islam dan mengingkari 
jihad yang kamu lakukan untuk memperjuangkan kefahaman kamu itu. Para 
pemimpin, ketua-ketua orang yang rindukan kemegahan dan kekuasaan akan 
menaruh dendam kesumat terhadap kamu. Kesemua bentuk pemerintah akan 
tegak serentak menghadapi kamu, semua kerajaan akan berusaha membatasi 
kegiatan kamu dan meletakkan rintangan-rintangan di jalanmu."
     
"Penyamun-penyamun ini akan memasang perangkap dengan apa cara sahaja 
untuk dapat menentang kamu dan memadamkan sinar dakwah kamu. Dalam 
usaha-usaha mereka ini mereka akan menggunakan kerajaan-kerajaan yang 
lemah, akhlak yang rendah dan tangan-tangan yang sentiasa menadah 
sesuatu dari mereka tetapi melakukan kejahatan dan permusuhan terhadap 
kamu."
     
"Kesemua mereka akan menaburkan salah faham dan tuduhan-tuduhan kabur 
terhadap dakwah kamu dan mereka akan terus berusaha untuk melemparkan 
tuduhan yang mengatakan bahawa dakwah kamu itu tidak sempurna, tempang 
dan songsang, sekalipun mereka melemparkan tuduhan-tuduhan itu dengan 
cara yang paling kotor, menggunakan kekuatan dan kekuasaan mereka, 
berlaku zalim dengan menggunakan harta kekayaan dan kedudukan mereka.  
Firman Allah:
     
"Mereka ingin hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut 
(ucapan-ucapan) mereka, tetapi Allah tetap menyempurnakan cahayanya 
sekalipun orang-orang kafir benci." (Ash-Shaff: 8)
     
"Tidak syak lagi kamu akan mengharung dan menghadapi perkara-perkara 
tersebut dalam peringkat ujian dan cubaan, kamu akan ditangkap, 
dipenjara, dibuang daerah, dipindah dan diporak-perandakan. Segala 
kepentingan-kepentingan kamu akan dirampas, kerja-kerja kamu akan 
dibekukan dan rumah-rumah kamu akan digeledah. Boleh jadi masa ujian ini 
kamu lalui dalam satu jangka waktu yang panjang. Firman Allah:
     
'Apakah manusia itu menjangka bahawa mereka dibiarkan (sahaja) 
mengatakan: "Kami telah beriman," sedang mereka tidak diuji." 
(Al-Ankabut: 2)
     
"Tetapi ingatlah bahawa setelah ujian-ujian ini Allah telah menjanjikan 
akan  memberikan  pertolongan kepada para mujahidin dan ganjaran bagi 
mereka yang beramal dan berbuat baik. Firman Allah:
     
"Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan satu 
perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih, (iaitu) 
kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah 
dengan harta dan jiwa kamu, itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu 
mengetahuinya, nescava Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu dan 
memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai 
dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga 
`Adnin. Itulah keberuntungan yang besar. Dan (ada lagi) kurnia yang lain 
yang kamu sukai (iaitu) pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang 
hampir (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang 
yang beriman. 
Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong-penolong (agama) 
Allah sebagaimana Isa putra Maryam telah berkata kepada 
pengikut-pengikutnya: "Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku 
(untuk menegakkan agama) Allah?" Para pengikutnya yang setia itu 
berkata: "Kamilah penolong-penolong (agama) Allah, lalu segolongan dari 
Bani Israel beriman dan segolongan (yang lain) kafir. Maka kami berikan 
kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, 
lalu mereka menjadi orang-orang yang menang." (Ash-Shaff: 10-14)
     
"Tidakkah kamu akan tetap pendirian untuk menjadi ansarullah?"