Wahai akh yang benar dalam dakwahnya: 

Keimanan kamu dengan bai'ah ini mewajibkan  agar  kamu  menunaikan 
beberapa kewajipan di bawah sehinggalah kamu  menjadi  satu  sudut 
yang kukuh dalam binaan Islam ini. Kewajipan itu adalah: 

1. Kamu hendaklah mempunyai  wirid  al-Quran  harian  iaitu  tidak 
kurang  dari  satu  juzuk  sehari  dan   berusahalah   agar   kamu 
menghabiskannya dalam masa yang tidak lebih dari sebulan dan tidak 
kurang dari tiga hari. 

2. Hendaklah kamu perelokkan bacaan al-Quran kamu,  mendengar  dan 
mentadabbur makna-maknanya.  Hendaklah  kamu  memenuhi  masa  kamu 
dengan mempelajari sirah yang suci dan juga  sejarah  para  salaf, 
paling kurang bacalah kitab `Humatul Islam'. Hendaklah  juga  kamu 
banyakkan membaca hadis Rasulullah s.a.w, menghafal paling  kurang 
empat puluh hadis dan seboleh-bolehnya hendaklah hadis empat puluh 
pilihan an-Nawawi. Kamu juga hendaklah mempelajari usul akidah dan 
cabang-cabang fekah. 

3. Sentiasa membuat pemeriksaan am kesihatan dan mendapat  rawatan 
setiap  penyakit  yang  dihidapi,  juga  mementingkan  unsur-unsur 
kekuatan dan pencegah penyakit jasmani  dan  menjauhi  unsur-unsur 
pembawa penyakit. 

4. Jauhkan dari terlampau banyak minum  kopi,  teh  dan  lain-lain 
minuman penyegar, jangan minum minuman-minuman ini kecuali  ketika 
darurat. Janganlah sekali-kali merokok. 

5. Hendaklah menjaga kebersihan  dalam  setiap  perkara  sama  ada 
dalam tempat tinggal, pakaian,  makanan,  badan  dan  juga  tempat 
kerja. Agama dibina atas asas kebersihan. 

6. Hendaklah bercakap benar dan jangan sekali-kali berdusta.

7. Hendaklah jujur dalam menunaikan segala  janji  dan  kata-kata. 
Janganlah melanggarnya walaupun apa juga keadaan. 

8. Hendaklah menjadi seorang  yang  berani  dan  tabah  menanggung 
kesusahan. Keberanian yang paling  utama  adalah  berterus  terang 
dalam perkara benar, merahsiakan  perkara  yang  rahsia,  mengakui 
kesilapan sendiri dan insaf diri dan mampu  mengawal  diri  ketika 
marah. 


9. Hendaklah sentiasa warak, tenang  dan  serius.  Kewarakan  kamu 
tidak menghalang  kamu  dari  gurauan  benar  ataupun  suka  dalam 
senyuman. 

10. Hendaklah menjadi  seorang  yang  pemalu  dan  sensitif,  kuat 
terkesan dengan kebaikan dan  keburukan  iaitu  bergembira  dengan 
yang pertama  (kebaikan)  dan  sedih  dengan  perkara  yang  kedua 
(keburukan). Hendaklah juga menjadi seorang  yang  tawadhuk  dalam 
perkara yang bukan mendatang kehinaan, ketundukan dan  pendustaan. 
Hendaklah meminta gaji yang kurang dan gaji sebenarnya  agar  kamu 
dapat sampai kepada darjat tawadhuk. 

11. Hendaklah sentiasa adil dan benar dalam setiap keputusan  yang 
diambil dalam apa  jua  keadaan.  Kemarahan  kamu  kepada  sesuatu 
perkara janganlah melupakan kamu akan kebaikan-kebaikan yang  ada, 
begitu juga  perasaan  redha  kamu  pada  satu  perkara  janganlah 
menutup segala kejahatan yang ada. Janganlah  pertelingkahan  kamu 
menjadikan kamu melupakan segala nilai  murni.  Bercakap  benarlah 
walaupun  dalam  perkara  yang  menyentuh  diri  sendiri   ataupun 
menyentuh orang yang terdekat dengan kamu sekalipun  perkara  yang 
kamu tidak sukai. 

12. Hendaklah menjadi seorang yang sentiasa cergas, ringan  tulang 
dalam khidmat  awam,  gembira  dan  riang  jika  dapat  memberikan 
bantuan dan khidmat kepada orang  lain.  Ziarahilah  orang  sakit, 
bantulah  orang  yang  berhajat,  menanggung  orang  yang   lemah, 
membantu orang  yang  ditimpa  kemalangan  walaupun  hanya  dengan 
perkataan yang  baik,  juga  sentiasalah  bersegera  dalam  amalan 
kebaikan. 

13.  Hendaklah  menjadi  seorang  yang   menyayangi,   memuliakan, 
memaafkan,  mengampun  dan  berlembut   dengan   manusia   mahupun 
binatang. Hendaklah  mempunyai  interaksi  dan  akhlak  yang  elok 
dengan semua manusia, memelihara adab  Islam  dan  kemasyarakatan, 
mengasihi  kanak-kanak,  memuliakan  dan  menghormati  orang  tua, 
melapangkan majlis, tidak menyelinap dan merisik hal  orang  lain, 
tidak mengumpat dan  bertempik-tempik,  meminta  izin  jika  ingin 
masuk dan keluar dan lain-lain lagi. 

14.  Bijak   dalam   membaca   dan   menulis,   banyak   mentelaah 
perutusan-perutusan,  akhbar,  majalah  Ikhwan   dan   sebagainya. 
Hendaklah membuat perpustakaan sendiri walaupun  kecil,  hendaklah 
kamu menjadi seorang yang pakar dalam bidang ilmu dan seninya jika 
kamu seorang ahli takhasus. Hendaklah kamu menguasai hal-ehwal  am 
Islam  yang  membolehkan  kamu  menggambarkannya  dan   memutuskan 
sesuatu hukum yang bertepatan dengan kehendak fikrah. 

15. Hendaklah berkecimpung dalam  kerja  ekonomi  walaupun  banyak 
mana harta  kamu.  Hendaklah  melebihkan  kerja  sendiri  walaupun 
dengan pendapatan yang kecil,  juga  hendaklah  menumpukan  segala 
usaha kamu  kepadanya  walaupun  setinggi  mana  tahap  pencapaian 
akademik kamu. 

16.  Jangan  terlalu  mengharapkan  kerja  dengan   kerajaan   dan 
hendaklah kamu menganggapnya  sebagai  pintu  rezeki  yang  paling 
sempit. Jangan pula kamu menolaknya jika kamu  diberikan  peluang. 
Janganlah  kamu  melepaskannya  kecualilah  jika  ia  bertentangan 
secara langsung dengan kewajipan dakwah. 

17. Pastikan kamu melakukan pekerjaan kamu dengan seelok  eloknya, 
penuh ketekunan, dedikasi, tidak menipu dan tepat pada masanya. 

18. Hendaklah kamu menjadi seorang yang bijak  menunaikan  hak-hak 
kewajipan kamu, hendaklah menunaikan  hak-hak  orang  lain  dengan 
sempurna tidak ada kekurangan, dan tidak sekali menangguh-nangguh. 

19. Hendaklah jauhkan diri dari sebarang jenis perjudian  walaupun 
apa tujuan lain di belakangnya, jauhkanlah diri dari segala  punca 
pendapatan yang haram walaupun  sebanyak  mana  keuntungan  segera 
yang akan didapati. 

20. Jauhkan diri  dari  riba  dalam  segala  bidang  muamalah  dan 
bersihkan diri anda keseluruhannya dari riba. 

21.  Hendaklah  memberikan  khidmat  positif  kepada  perkembangan 
ekonomi  Islam   dengan   mendokong   segala   kilang-kilang   dan 
binaan-binaan ekonomi Islam. Jagalah setiap  sen  duit  kamu  agar 
jangan terjatuh ke tangan pihak bukan Islam walau apa jua keadaan. 
Janganlah kamu makan dan pakai kecuali dari  makanan  dan  pakaian 
buatan negara Islam kamu sendiri. 

22. Memberikan saham sebahagian  dari  harta  kamu  untuk  dakwah, 
menunaikan zakat yang diwajibkan ke atas kamu  dan  jadikanlah  ia 
sebagai hak yang maklum kepada orang yang berhajat  dan  ketiadaan 
harta benda, walau sekecil manapun pendapatanmu. 

23. Hendaklah mempunyai simpanan harta walaupun sedikit untuk masa 
kecemasan dan jangan sekali-kali terjerumus dalam membelanjakannya 
kepada perkara yang hanya bersifat menyempurnakan. 

24. Hendaklah berusaha  sedaya  upaya  untuk  menghidupkan  segala 
adat-adat Islam dan menghapuskan  adat-adat  asing  dalam  seluruh 
aspek kehidupanmu. Antaranya: adat-adat yang  bersangkutan  dengan 
salam alu-aluan, bahasa, sejarah, fesyen, perkakas  rumah,  jadual 
kerja dan rehat, makanan dan minuman, jadual sampai dan  bertolak, 
kesedihan dan kesukaan dan  sebagainya.  Hendaklah  kamu  sentiasa 
merujuknya daripada sunah Rasulullah s.a.w yang suci. 

25. Hendaklah kamu memulaukan segala mahkamah tradisi  dan  setiap 
hukuman  yang  tidak   menepati   Islam,   memulaukan   sepenuhnya 
kelab-kelab, media massa, kumpulan, sekolah-sekolah dan pertubuhan 
yang menentang fikrah kamu. 

26. Sentiasa bermuraqabah kepada Allah Taala,  mengingati  akhirat 
dan bersedia untuknya. Hendaklah  kamu  melakukan  segala  perkara 
yang  menyampaikan  kamu  kepada  keredhaan  Allah  dengan   penuh 
kebanggaan dan keazaman. Hendaklah mendekatkan diri  kepada  Allah 
dengan ibadat-ibadat  sunat  seperti  sembahyang  malam,  berpuasa 
sekurang-kurangnya tiga hari sebulan, memperbanyakkan  zikir  hati 
dan lidah dan menyertakan doa yang muktabar dalam setiap keadaan. 

27. Hendaklah  kamu  sentiasa  menjaga  kesucian  badan  kamu  dan 
sentiasa berada dalam keadaan berwudhuk kebanyakan waktu. 

28.  Perelokkan  sembahyang  kamu,  sentiasa  mengerjakannya  pada 
waktunya dan menjaganya agar ditunaikannya secara berjemaah dan di 
masjid sejauh kemampuan kamu. 

29. Hendaklah berpuasa Ramadhan, mengerjakan haji jika  mampu  dan 
berusaha  ke  arahnya  jika  kamu  masih   belum   ada   kemampuan 
mengerjakan haji. 

30.  Sentiasalah  sematkan  niat  untuk  berjihad   dan   perasaan 
mencintai syahid dalam hatimu dan  bersedialah  untuk  itu  sedaya 
upaya kamu. 

31.   Hendaklah   sentiasa   memperbaharui   taubatmu,    sentiasa 
beristighfar, melepaskan diri dan dosa-dosa  kecil  tambahan  pula 
dosa-dosa besar. Hendaklah kamu memperuntukkan sedikit masa  untuk 
menghitung amalanmu sama ada baik ataupun  tidak,  sebelum  tidur, 
berwaspada dari membuang masa kerana masa adalah kehidupan,  tidak 
menghabiskannya dalam perkara yang tidak berfaedah  dan  hendaklah 
kamu warak dalam perkara yang syubhat supaya kamu tidak terjerumus 
dalam perkara yang haram. 

32. Hendaklah kamu berjihad keras melawan nafsu kamu  supaya  kamu 
dapat mengawalnya,  hendaklah  kamu  menundukkan  pandangan  kamu, 
mengawal perasaan kamu, melawan dorongan seks dalam diri kamu  dan 
hendaklah  sentiasa  mencari  perkara  yang  halal  dan  baik  dan 
menghalang kamu dari melakukan perbuatan yang haram. 

33. Hendaklah kamu menjauhkan diri sejauh-jauhnya  dari  arak  dan 
perkara yang  memabukkan  dan  menghilangkan  kewarasan  dan  yang 
seumpamanya. 

34. Hendaklah kamu menjauhkan diri kamu dari kawan yang jahat  dan 
merosakkan begitu juga dari tempat-tempat maksiat dan dosa. 

35.  Hendaklah  kamu  memerangi  tempat-tempat   yang   melalaikan 
lebih-lebih lagi dari mendekatinya. Kamu juga hendaklah menjauhkan 
diri dari segala bentuk kemewahan. 

36. Hendaklah kamu mengenali  dengan  terperinci  setiap  individu 
dari kalangan anggota katibah kamu dan  juga  kenalkan  diri  kamu 
sedetailnya kepada mereka. Tunaikanlah hak-hak persaudaraan secara 
sempurna seperti kasih sayang, menghargai saudara, bantu  membantu 
dan melebihkan mereka dari diri kamu  sendiri  (ithar).  Hendaklah 
kamu sentiasa menghadiri perjumpaan mereka dan  janganlah  ponteng 
darinya kecualilah dengan sebab keuzuran yang  memaksa.  Hendaklah 
sentiasa melebihkan mereka dalam setiap interaksi kamu. 

37.  Hendaklah  merungkaikan  segala  ikatan  kamu  dengan  segala 
pertubuhan  atau  jemaah  yang  tidak  ada  hubungkaitnya   dengan 
kepentingan  fikrah   kamu   khasnya   jika   kamu   diperintahkan 
sedemikian. 

38. Berusahalah untuk menyebarkan dakwah kamu  ke  setiap  pelusuk 
bumi ini dan hendaklah  sentiasa  memberitahu  pimpinan  kamu  apa 
sahaja keadaan yang kamu hadapi dan janganlah membuat sesuatu yang 
memberikan  kesan  yang  besar  kecuali  dengan  izin,   hendaklah 
sentiasa berada dalam hubungan sama  ada  ruh  atau  amali  dengan 
pimpinan. Hendaklah kamu sentiasa  menganggap  diri  kamu  sebagai 
seorang tentera di pengkalannya yang  sentiasa  bersedia  menunggu 
arahan. 

Wahai saudara yang benar ...

Inilah dakwah kamu secara  umumnya,  ringkas  penjelasan  mengenai 
fikrah kamu yang dapat dikumpulkan asas-asas  ini  ke  dalam  lima 
slogan: 

`Allah Matlamat Kami, Rasul Ikutan Kami,  Al-Quran  Syariat  Kami, 
Jihad Jalan Kami dan Syahid adalah Cita-cita Kami' 

Kamu juga dapat mengumpulkan tanda-tandanya dalam  lima  perkataan 
yang lain iaitu: Al-Bisatoh (mudah dan  bersederhana),  Al-Tilawah 
(tilawah    al-Quran),    Al-Solat    (sembahyang),    Al-Jundiyah 
(Ketenteraan) dan Al-Khulk (akhlak). 

Yakinlah bahawa jika  kamu  beramal  dengannya  dan  menjadikannya 
sebagai harapan hidupmu dan tumpuan matlamatmu, maka balasan  yang 
akan kamu dapati adalah kemuliaan  di  dunia  serta  kebaikan  dan 
keredhaan di akhirat nanti. Di kala  itu  kamu  adalah  sebahagian 
dari  kami  dan  kami  adalah  sebahagian  dari  kamu.  Jika  kamu 
berpaling dari kami dan berhenti dari amal  ini,  maka  tidak  ada 
lagi hubungan antara kita walaupun ketika itu kamu mengetuai  kami 
dan mendapat gelaran-gelaran dan pangkat yang tinggi.  Allah  akan 
menghitung pengunduran kamu dari amal  ini  dengan  hitungan  yang 
ketat. Oleh itu pilihlah untuk dirimu apa yang kamu  dampakan  dan 
kami berdoa kepada Allah agar diberikan hidayah dan taufik  kepada 
kita. 

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu  jika  aku  tunjukkan 
kepada kamu suatu perniagaan yang  akan  menyelamatkan  kamu  dari 
azab yang pedih: 

Pertama: Kamu beriman kepada Allah dan RasulNya

Kedua: Kamu berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan  diri 
kamu.  Itulah  yang  lebih  baik  kepada  kamu,   sekiranya   kamu 
mengetahui: 

1. Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu.

2. Dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir  di  bawahnya 
sungai-sungai dan (memasukkan kamu) ke tempat  tinggal  yang  baik 
dalam syurga Adn'. Itulah keuntungan yang besar 

3. Dan perkara lain  yang  kamu  sukai  (ialah)  pertolongan  dari 
Allah.

4. Juga kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah  berita 
gembira itu kepada orang-orang mukmin. 

Wahai orang-orang yang  beriman,  jadilah  kamu  penolong-penolong 
(agama) Allah seperti mana Nabi Isa  ibni  Maryam  berkata  kepada 
pengikut-pengikutnya:     "Siapakah     yang     akan      menjadi 
penolong-penolongku    (untuk    menegakkan    agama)     Allah?". 
Penolong-penolongnya menjawab: "Kamilah penolong-penolong  (agama) 
Allah", maka berimanlah  segolongan  dari  Bani  Israel  sementara 
segolongan  lagi  kufur.  Maka  Kami   berikan   kekuatan   kepada 
orang-orang yang beriman ke atas musuh-musuh mereka,  lalu  mereka 
menjadi orang-orang yang menang  (maksud  ayat  10-14  dari  surah 
al-Soff).