Wahai pemuda-pemuda Islam! Kamu sangat-sangat dituntut supaya bekerja 
dengan lebih keras dan bersungguh-sungguh. Rasa malu, silu, malas, segan 
dan sifat tunggu dahulu, jangan dibiarkan wujud sama sekali di dalam 
jiwa kamu. Terus maralah kamu untuk berda'wah ke jalan Allah. 

Sampaikanlah risalah Islam yang kamu bawa ini kepada manusia. Semuga 
dengan usaha ini terukirlah pula zaman kegemilangan Islam, sebagaimana 
yang telah dicatat oleh sejarah. Kamulah semua satria pembawa Risalah. 
Tulang belakang ummah mulai dan sekarang hingga ke hari muka.
     
Usaha dan jihad pemuda-pemuda merupa suatu tenaga yang paling berpotensi 
bagi mengatasi dan memecah sebarang masalah. Usaha ke arah Keagungan dan  
Kegemilangan akan terkabul di tangan-tangan belia-belia Islam, bukan di 
kalangan orang yang tidak bermaya lagi tidak berpotensi. Sebagaimana 
kita semua ketahui, bahawa angkatan belia adalah merupakan suatu tenaga 
yang utuh, teguh andainya mereka ini diasuh dan ditarbiyah dengan 
tarbiyah Islamiah, hingga jiwa-jiwa mereka ini penuh padu keimanan 
dengan Allah s.w.t. Berteraskan dengan keimanan yang tulin sahajalah 
kedudukan ummah ini dapat ditingkatkan sampai menjadi suatu ummah yang 
aman makmur.
     
Di sebalik keagungan dan ilmu ketamaddunan Islam, maka kita dapati 
generasi belialah yang dianggap telah memainkan peranan yang begitu 
hebat, hinggakan Keagungan Islam tercapai di tangan mereka. Niat mereka 
sungguh suci. Ketabahan hati mereka amat kagum sekali. Mereka tidak 
tertipu dengan kemewahan yang mereka perolehi di dunia ini. Mereka terus 
berusaha, bekerja dan berjihad untuk berda'wah ke jalan Allah, hatta 
tercapai segala hasrat dan cita-cita mereka yang suci murni  itu...
      
Duhai pemuda-pemuda Islam! Semuga kamu semua akan menjadi perwira Islam. 
Perwira yang kenal agamanya yang unggul, yang beribadat dan berjihad, 
memperbaiki kekurangan diri sendiri di samping berda'wah ke jalan Allah. 
Inilah golongan pemuda yang bersifat mulia lagi terpuji. Golongan inilah 
yang tidak sanggup dicemar dan dikeji. Kesudahannya zaman Keagungan 
Islam akan kembali. Negara Islam yang diimpi-impikan oleh setiap 
penganutnya akan tegak semula di atas daya usaha satria pemuda. Allah 
Maha Mulia lagi Pengasih. Dia akan memberi kemenangan kepada sesiapa 
yang Dia sukai.
     
Saya doakan, semuga Allah jadikan kita seperti golongan yang mendengar 
ucapan dan disusuli dengan amalan. Semuga Allah jadikan kita seperti 
para-para dai' yang bekerja dengan tulus ikhlas, demi untuk menyampaikan 
risalah Islam. Kita tidak gentar dengan sesiapa pun. Hanya kepada Allah 
saja sebaik tempat kita bergantung dan meminta. Saya sudahi dengan 
memuji Allah, Pentadbir semesta alam.
     
[Peranan Pemuda Di Dalam Menyampaikan Risalah Islam - Abdullah Naseh 
`Alwan]