JEMAAH IKHWAN Cukup Sifat-Sifat Ini. — Imam Hassan al-Banna amat ingin mengembalikan kefahaman Islam, sebagaimana yang dimiliki oleh Rasulullah (s.a.w) dan para salafus saleh. Beliau telah menjadikan "FAHAM" sebagai rukun bai'ah yang pertama sekali. Beliau meletakkan "USUL DUA PULUH" sebagai lingkungan yang dapat menjaga kefahaman yang betul ini dari kesalahan, penyelewengan, kekurangan, bid'ah dan khurafat. Begitu juga kefahaman tersebutlah yang dapat menyatukan kaum Muslimin dan menjauhkan mereka daripada berbagai perselisihan dahulu, yang mana perselisihan itulah yang memecahbelahkan mereka menjadi berpuak-puak, berkumpulan-kumpulan dan berparti-parti. — Begitu juga, beliau telah menjadikan tujuan utama Jemaah Ikhwan ialah untuk menegakkan negara Islam dan mengembalikan sistem Khilafah Islam. Kita dapat melihat perkara ini dalam rukun "AMAL" yang merupakan salah satu dari rukun bai'ah yang disebutkan dalam Risalah Taklim. Di samping itu, beliau telah menggariskan peringkat-peringkat amal untuk melaksanakan tujuan agung ini. Peringkat-peringkat tersebut ialah melahirkan: Individu Muslim, rumahtangga Muslim, masyarakat Muslim, dan seterusnya, Negara Islam. Perkara ini berlaku di kalangan setiap bangsa Islam. Setelah itu kerajaan-kerajaan Islam tersebut bersatu untuk membentuk sebuah empayar Islam. Di atas empayar Islam itulah sistem Khilafah ditegakkan. InsyaAllah. — Kemudian al-Banna telah mengikut jalan Rasulullah (s.a.w) untuk melaksanakan tujuan ini, iaitu dengan kekuatan akidah, kekuatan kesatuan, dan seterusnya kekuatan tenaga dan senjata, bila tidak ada jalan yang lain lagi. Untuk melaksanakan ketiga-tiga bentuk kekuatan ini, beliau telah mengambil berbagai usaha. — Sejak dari awal, kita dapati beliau telah menyeru dengan dakwah yang berbentuk alami (sejagat). Beliau bergerak aktif dalam dakwah tersebut tanpa dibatasi oleh masa dan tempat. Semasa hayatnya, dakwah tersebut telah melampaui sempadan negara Mesir, hinggalah sampai ke kebanyakan negara-negara Arab. Dengan kurnia Allah, pada hari ini dakwah tersebut telah memenuhi bumi-bumi Islam. Kita melihat musuh-musuh Allah sedang memusatkan serangan dan pukulan mereka pada dakwah tersebut. Sebabnya, mereka tahu kebaikan fikiran tersebut dan sejauh manakah bahayanya yang akan mengancam kebatilan mereka. Serangan dan tipu muslihat tersebut menyebabkan dakwah itu semakin tersebar dan belia-belianya semakin mara. Darah-darah para syuhadaknya menjadi bekalan dan bahan tenaga kepada generasi-generasi yang ada di seluruh dunia. — Dengan kurnia Allah, dakwah tersebut telah mendapat pengalaman dan kematangan dalam medan amal Islami, iaitu di pelbagai bidang. Contohnya ialah di bidang penyebaran dakwah, tarbiah, takween (pembentukan), persiapan, jihad, pengorbanan, tetap pendirian dan juga tajarrud. Alhamdulillah, sehingga kini dakwah tersebut telah cukup dipercayai oleh majoriti jemaah-jemaah Islam yang ada di bumi Islam. Sejak dari awal lagi, Imam al-Banna ingin menjalin hubungan baik serta merentangkan jambatan yang menghubungkan antara Jemaah Ikhwanul Muslimin dengan orang-orang yang ikhlas berjuang, dalam medan dakwah di seluruh bumi Islam. Beliau menjaga hubungan baik, walaupun dengan orang yang berkasar dengan Jemaahnya. Beliau membalas kejahatan dengan kebaikan, dan tidak mengaibkan badan-badan serta individu-individu yang lain. Secara Keseluruhannya Jemaah Ikhwan Berjalan Di Atas Jalan Yang Betul. Secara umumnya, kami tidaklah berpendapat Jemaah Ikhwanul Muslimin sudah menyeleweng dan menjadi fasiq atau sesat, hingga tidak boleh disertai lagi. Kami tidak berpendapat ia tidak boleh disertai dalam melaksanakan tujuan yang mulia serta agung ini. Dalam memastikan terlaksananya tujuan-tujuan agung yang diasaskan untuk dilaksanakan, tanpa rasa lemah dan rendah, meskipun dibebani dengan pengorbanan-pengorbanan serta waktu, maka kami tidak berpendapat Ikhwanul Muslimin tidak boleh disertai. [Utz Mustafa Masyhur]