Para khatib di masjid yang menaiki mimbar dan bercakap kepada orang 
ramai setiap Jumaat juga telah ditetapkan kepada mereka tajuk-tajuk 
khutbah, ataupun khutbah itu sendiri telah ditulis untuk mereka. Mereka 
dilarang daripada memperkatakan tentang hukum-hukum syarak yang 
ditinggalkan, disingkirkan daripada Undang-undang negara dan digantikan 
tempatnya dengan undang-undang lain yang menghalalkan apa yang telah 
diharamkan oleh Allah, mengharamkan apa yang telah dihalalkan oleh Allah 
kerana percakapan seperti ini adalah termasuk bidang politik. Sedangkan 
pada mereka, tidak ada hubungan di antara agama dengan politik. Apabila 
orang ramai tidak mendapat penjelasan daripada khatib-khatib di masjid 
yang diharap akan memberikan kesedaran tentang undang-undang Tuhan 
mereka dan sejauhmana pelaksanaan syariah ini di dalam kehidupan mereka, 
maka buta agama akan menyelubungi kehidupan mereka. Apatah lagi kita 
mendapati buku-buku yang diterbitkan adalah dikawal agar tidak menyentuh 
langsung perkara ini dari jauh ataupun dekat.
     
Dengan ini umat Islam telah hilang semua jalan untuk mengetahui 
fardu-fardu agama mereka yang telah disingkirkan daripada realiti 
kehidupan mereka. Mereka dihalang untuk mendapat pengetahuan tentang 
perkara ini, dengan itu mereka menjadi buta agama.

[HALANGAN-HALANGAN PELAKSANAAN SYARIAH ISLAM oleh Prof. Manna' Khalil 
al-Qaththan; Maktabah al-Qardhawi 1998]