Bismillah Walhamdulillah Was Salaatu Was Salaam 'ala Rasulillah.

PERGINYA TEMAN JIHAD MURSYID AM

Beberapa hari berlalu (2.10.1997), perginya ke sisi Allah isteri Mursyid 
Am Ikhwan Muslimin, Mustafa Masyhur. Jenazahnya diiringi oleh ribuan 
masyarakat Mesir dari setiap negeri menuju ke tempat persemadiannya yang 
terakhir di dunia ini dengan penuh kekaguman terhadap jihad dan 
kelebihan yang ada padanya. 

Jika sekiranya para hukamak mengatakan " Sesungguhnya di belakang setiap 
lelaki yang hebat, ada wanita dibelakangnya ", maka Almarhumah merupakan 
wanita yang berada dibelakang suaminya, membantu dan mendorong dari 
belakang, menyokongnya untuk terus bergerak dalam jalan Dakwah walau 
berdepan dengan ranjau dan duri. 

Detik-detik jihad Almarhumah terlalu banyak. "Saudari akan menjadi 
isteriku yang kedua kerana aku telah berkahwin dengan isteriku yang 
pertama sebelum saudari. Aku amat mencintainya dan aku tidak sanggup 
untuk berpisah dengannya ". Almarhumah bertanya, "Siapakah dia?". Ustaz 
Mursyid menjawab, " Dia adalah Dakwah di jalan Allah. Diharap saudari 
jangan cemburu kepadanya ". Almarhumah menjawab, "Dakwah tersebut adalah 
tuanku dan aku adalah khadamnya". 

Begitulah teguhnya janji yang diukir sehingga berlalu 51 tahun 
Almarhumah mengharungi masa tersebut bersama suaminya. Dakwah Ikhwan 
Muslimin adalah tuannya yang menyuruh, lalu dia mentaatinya. Dakwah 
berkata, dan dia patuh mendengar kata-kata tersebut. Suaminya dipenjara 
selama 19 tahun, dalam tahun-tahun 50an, 60an dan awal 70an, tetapi 
Almarhumah tetap setia pada janjinya dan tsabat di atas Dakwah ini. 

Apabila Ustaz Mursyid mula dipenjara, dia meninggalkan 4 orang anak 
kecil kepada Almarhumah untuk dibesarkan olehnya berseorangan diri. 
Mereka ialah Masyhur, Salwa, Wafak dan Sumayyah. Jadilah 
Almarhumah sebagai ibu dan ayah kepada mereka. Almarhumah mendidik 
mereka dengan baik. Apabila Ustaz Mustafa keluar dari penjara, dia 
mendapati mereka dalam keadaan sebaik-baik agama, ilmu 
dan akhlaq. Sangat berat hari-hari berlalu ketika suami dipenjara tetapi 
Almarhumah bersungguh-sungguh berusaha memastikan hari-hari itu indah 
lagi menggembirakan untuk anak-anak mereka. 

Pernah mereka tidak dibenarkan menziarahi Ustaz Mursyid di penjara 
Wahaat selama 9 tahun lalu Almarhumah menghubungkan mereka dengan ayah 
mereka melalui surat pos. Almarhumah memegang pen 
di tangan-tangan kecil mereka menulis kalimat-kalimat tsabat dan 
dorongan kepada ayah yang sedang berada di belakang jaringan besi di 
penjara. Almarhumah menyanyikan untuk mereka " Nahnu nuhibbu 
baba, wa baba yuhibbuna " ( Kami sayangkan ayah, dan ayah sayangkan kami 
). Almarhumah membeli permainan dan hadiah dengan duit yang tersimpan 
agar dia menghadiahkan kepada mereka yang masih kecil dengan mengatakan 
" Baba arsala ilaikum hazihi hadaya" ( Ayah kirim hadiah-hadiah ini 
untuk kamu ). 

Berlaku mehnah yang dikenali sebagai "Mehnah Takyid" ( Dugaan memberi 
sokongan kepada Presiden Jamal Abdul Nasir yang menghukum mereka, iaitu 
dengan menggunakan anak-anak Ikhwan yang dipenjara untuk memujuk 
ayah-ayah mereka menerima tawaran bebas dari penjara dengan syarat 
menulis beberapa perkataan atas kertas menyokong Jamal Nasir ; mehnah = 
dugaan, takyid = sokong ). Beberapa orang dari saudara mara Ustaz 
Mursyid menyuruh anak-anak perempuan beliau pergi ke penjara untuk 
memujuk ayah agar menulis sokongan dan balik ke rumah bersama mereka 
tetapi Almarhumah enggan dan memesan kepada anak-anak agar tidak 
menunjukkan jemu dan risau lantaran ketiadaan ayah yang panjang. 
Teruslah si ayah dalam penjara dengan tsabat dan teguh, menolak sebarang 
sokongan terhadap Sistem yang memenjarakannya. 

Pernah apabila hari-hari raya menjelang tiba, Almarhumah tidak mempunyai 
wang untuk membeli pakaian hari raya untuk anak-anak. Untuk 
menggembirakan mereka, beliau menurunkan beberapa kain 
langsir rumah untuk dibuat pakaian raya. Pernah juga beliau sampul 
kusyen kerusi dan sofa dijahitnya menjadi baju anak-anak. 

Almarhumah menanamkan kedalam jiwa anak-anak perasaan theqah kepada 
Allah, meneguhkan hati mereka dengan rasa bangga terhadap tugas ayah 
dalam menyampaikan risalah Dakwah. Beliau menjadikan 
anak-anak merasakan bahawa ayah mereka adalah seorang mujahid, dipenjara 
kepada aqidahnya dan patut mereka berbangga dan menceritakan perkara ini 
kepada kawan-kawan yang lain. 

Apabila Ustaz Mursyid keluar dari penjara, Almarhumah menyambung 
perjalanannya bersama Mursyid, mencurahkan pengorbanan. Ustaz Mursyid 
yang sentiasa pergi ke marata tempat dalam dan luar Mesir 
berdakwah di jalan Allah. Waktu di rumah sangat sedikit, namun 
Almarhumah tetap redha dan tenang. Bahkan dihari-hari yang kebiasaannya 
ahli keluarga berkumpul seperti berbuka dibulan Ramadhan, beliau 
berkorban haknya untuk diberikan kepada anak-anak Dakwah lain yang 
mengundang si suami. Almarhumah berkongsi perasaan dan prihatin suami 
terhadap anak-anak Dakwah di mana sahaja mereka 
berada, dalam atau luar negeri, bertanyakan keadaan keluarga dan 
anak-anak mereka dan sering mendoakan untuk mereka. 

Almarhumah kuat berpuasa, qiamullail, berbudi luhur dan sentiasa 
berharap kebaikan kepada manusia - semua manusia. Sejak bertahun-tahun 
Almarhumah tidak ketinggalan bersama suaminya berqiamullail. 
Beliau memastikan bahagian akhir malam untuknya dan suaminya, bersama 
Allah, bermunajat dan berdoa kepadaNya agar dia menemuiNya dalam keadaan 
dia redha lagi diredhai olehNya. 

Semoga Allah mengampuninya, melimpahi rahmat keatasnya dan mengurniakan 
kesabaran keatas suami, anak-anak dan mereka yang mencintainya. Kita 
tidak mengatakan sesuatu melainkan yang diredhai 
oleh Allah : Inna lillahi wa inna ilaihi raajiuun ( Kita dari Allah, dan 
kepadaNya kita akan kembali ). 

[Dari Lembah Nile]