Bismillah Walhamdulillah Was Salaatu Was Salaam 'ala Rasulillah.

TIDAK TERDESAK DENGAN SEMANGAT.. DAN TIDAK MENUNGGU SAMPAI MATI, BAHKAN 
SETIAP PERKARA BERLAKU MENURUT PERENCANAAN.

Walaupun berkeadaan demikian, tetapi kita tidak akan terdesak dengan 
semangat setengah pemuda-pemuda untuk melakukan kerja secara 
terburu-buru tanpa dikaji. Melaksanakan kerja secara terdesak tidak akan 
mengubahkan realiti buruk. Barangkali ia akan memburukkan lagi keadaan 
amal Islami dan ahli-ahli batil akan mengambil peluang ini. Begitu juga 
kita sekali-kali tidak akan mengambil jalan yang buntu dan menghilangkan 
peluang dan menjatuhkan semangat jihad yang ada di dalam diri 
pemuda-pemuda. Sebaliknya mereka merancangkan kerja dengan 
serapi-rapinya dengan berpandukan kitab Allah dan Sunnah Nabinya 
Sallallahu alaihi wasallam. Begitulah dengan setiap langkah yang mereka 
ambil. Mereka sentiasa memohon pertolongan Allah, meminta padanya 
bimbingan dan taufik. Mereka juga sedia menerima sebarang nasihat, 
ingatan atau bimbingan daripada setiap orang, baik di peringkat mana 
sekalipun.

Kita sedar bahawa tergesa-gesa melakukan jihad sebelum cukup persediaan 
boleh memberikan kekalahan. Begitu juga mereka sedar bahawa 
berlengah-lengah atau teragak-agak untuk berjihad setelah tiba masanya 
yang sesuai dan tidak menyahut seruan Allah itu akan mematikan maknawi 
(cita-cita tinggi, semangat, kesungguhan). Dengan sentiasa mengamalkan 
syura dan berbincang dengan penuh kepercayaan insyaAllah kemenangan akan 
tercapai.

Bagi setengah pemuda yang ghairah untuk berjihad dan mati syahid, mereka 
menganggap cita-cita mereka akan tercapai dengan usaha yang dibuat 
secara juzuk' (sebahagian; tidak menyeluruh) itu. Contohnya ialah 
menghapuskan sebahagian dari bentuk-bentuk kemungkaran yang telah 
tersebar di negara kita dengan menggunakan kekuatan. Sebenarnya 
kemungkaran itu adalah merupakan buah daripada pohon yang keji. Bila 
dibuang sebahagian dari buahnya ia akan mengeluarkan buah yang baru. Dan 
begitulah seterusnya selagi pokok itu ada. Jadi tak dapat tidak pokok 
yang keji itu mestilah dicabut semuanya dan ditanam pula dengan pokok 
yang baik di tempat itu. Pokok yang baik itu ialah:

"Akarnya teguh dan cabangnya (menjulang), ke langit, pohon itu 
memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya." (Surah 
Ibrahim: Ayat 24)

Perkara ini memerlukan perancangan, persiapan dan masa yang sesuai. 
Semasa kita mengemukakan pemuda-pemuda kita untuk berjihad di waktu yang 
sesuai, kita bukanlah mencampakkan mereka ke lembah kehancuran. 
Sebaliknya kehancuran itu ialah berundur dari medan jihad setelah tiba 
masanya dan situasi memestikan. Sebabnya, penguasaan musuh Allah akan 
menyebabkan umat Islam terdedah pada fitnah dalam agama mereka. 
Kehormatan mereka akan dicerobohi dan anak-anak mereka akan membesar 
dengan akidah bukan Islam. Begitu juga, mestilah diketahui bahawa umat 
Islam tidak perlu membalas semua serangan dan kekejaman yang dilakukan 
oleh musuh-musuh Allah kepada mereka pada masa itu juga. Tetapi bila 
kekuatan dan suasana sudah sedia dan sesuai barulah dilakukan. 

Pada peringkat permulaan dakwah dahulu, umat Islam adalah sedikit dari 
segi bilangan. Mereka terdedah pada serangan dan kekejaman kaum 
musyrikin. Namun begitu, Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam tidak 
menyuruh kaum Muslimin membalas serangan itu dengan kekuatan. Sebaliknya 
ketika itu baginda berpesan kepada mereka supaya bersabar dan tetap 
pendirian. Baginda juga menggembirakan mereka dengan berita kemenangan 
dan syurga. Mereka hendaklah bersabar, tetap pendirian dan terus juga 
menyebarkan dakwah walaupun menghadapi penyiksaan. Bila suasana sudah 
sedia dan sesuai, barulah turun ayat yang membenarkan berperang.

Firman Allah Ta'ala yg bermaksud:

"Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana 
sesungguhnya mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya Allah, benar-benar 
Maha Kuasa menolong mereka itu." (Surah Al-Hajj: Ayat 39)

Berdasarkan ini jelaslah bahawa kita tidak akan terus bersikap negatif 
terhadap serangan yang ditujukan kepada mereka secara berkali-kali itu. 
Sebaliknya suatu hari nanti mereka pasti memohon pada Allah untuk 
membalas serangan tersebut dan mempertahankan diri mereka.

[Ustaz Mustafa Masyhur]