Ulama'-ulama' rasmi atau ulama'-ulama' kerajaan sentiasa mengeluarkan kenyataan di dalam pelbagai perayaan keagamaan. Mereka sentiasa mengeluarkan fatwa-fatwa yang menyokong keadaan pemerintah yang wujud sekarang, menyokong haluannya dan menuduh orang-orang yang menentang pandangan mereka - walaupun penentang itu berada pada pihak yang benar - sebagai golongan pemberontak dan pelampau. Amat sulit bagi seseorang itu untuk mendapati seorang dari kalangan mereka yang duduk di kemuncak jawatan rasmi di sudut agama di kebanyakan negara Islam untuk mendedahkan kata-kata yang hak lagi benar ataupun mengkritik keruntuhan agama, kerosakan masyarakat dan kemunduran akhlak. Ataupun untuk memperkatakan tentang penghalalan riba di dalam bank-bank kerajaan, ataupun tentang tidak terlaksananya hukuman hudud. Ataupun menjelaskan bahawa undang-undang yang dilaksanakan ini menghalalkan zina sekiranya ia dilakukan oleh dua orang yang telah mencapai usia baligh, boleh berfikir sendiri dan dengan kerelaan keduanya, selagimana zina tersebut tidak dilakukan di dalam rumah suami isteri. Hukuman terhadap perbuatan zina tidak wujud melainkan apabila salah satu pihak memaksa pihak yang lain ataupun zina itu tanpa kerelaannya sepenuhnya. Hukuman itu tidak lebih daripada denda kewangan ataupun penjara yang tidak lebih daripada 2 tahun. Ataupun mendedahkan bahawa Undang-undang ciptaan yang dilaksanakan itu tidak menghukum peminum arak, kalau dihukumpun bukan atas sebab mabuk itu sendiri tetapi disebabkan seorang yang mabuk itu didapati berada di atas jalanraya umum. Ini disebabkan kewujudan dia di dalam keadaan tersebut akan mendedahkan orang lain kepada pencerobohan dan kejahatannya. Hukuman bukanlah disebabkan sifat mabuk itu sendiri dengan anggapan ini adalah suatu perkara yang keji dan bukan juga atas anggapan meminum arak itu memudaratkan kesihatan, menghilangkan akal, menghabiskan harta, merosakkan akhlak dan menafikan hukum syariah. Maka, bagaimanakah manusia boleh mengetahui hakikat-hakikat agama mereka dan keadaan kehidupan mereka apabila lidah-lidah yang benar ini bisu daripada menjelaskan perkara ini? Tidak hairan kalau kebanyakan daripada mereka lupa ataupun sengaja lupa tentang masalah yang dihadapi oleh umat akibat tergendalanya pelaksanaan syariah, ataupun tersebarnya kejahilan tentang perkara ini. Hal ini sememangnya telah tersebar di kalangan kebanyakan umat Islam. Dengan ini buta agamapun melingkungi mereka semua. [HALANGAN-HALANGAN PELAKSANAAN SYARIAH ISLAM oleh Prof. Manna' Khalil al-Qaththan; Maktabah al-Qardhawi 1998]